HUBUNGAN dengan Umno tidak terjejas biarpun timbul isu kebocoran dokumen mengenai percaturan politik PAS yang menimbulkan kemarahan pemimpin parti Melayu itu, menurut Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata isu itu juga tidak menganggu menteri PAS dan Umno menjalankan tugas dengan baik dalam Kabinet.
“Hubungan kita baik, khususnya pemimpin Umno di Putrajaya (kabinet). Bahkan ada cawangan kita yang mempunyai hubungan baik dengan Umno,” katanya kepada pemberita di Marang.
Tegasnya, keyakinan orang ramai terhadap PAS juga masih utuh yang dan terbukti dengan peningkatan jumlah ahli baharu.
“Sehingga hari ini setiap bulan kita terima ahli baharu, tak kurang daripada 1,000 ahli baharu, kadang-kadang 2,000 dan ada sampai 4,000 yang kita terima,” katanya.
Dokumen bertajuk Laporan Political Engagement PAS Pusat yang terbocor di blog dan media sosial minggu lalu didakwa berhubung percaturan politik bagi menggulingkan pemimpin parti Umno.
Kandungan dokumen tersebut menimbulkan kemarahan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang membuat laporan polis bagi menyiasat dakwaan itu.
Dokumen yang tersebar melalui blog dan media sosial itu mencatatkan pertemuan Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dengan pemimpin politik tiga parti Melayu.
Dokumen bertajuk “Laporan Political Engagement PAS Pusat” dan bertanda sulit itu menyebut, pertemuan berkenaan didakwa berlangsung antara hujung Mac hingga awal April.
Ia mendakwa, kedua-duanya bertemu dengan Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin dari Bersatu, serta Hishammuddin Hussein dan Ahmad Masrizal Muhammad dari Umno.
Ahmad Samsuri juga didakwa bertemu Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad secara bersendirian di kediaman bekas perdana menteri di Seri Kembangan.
Hasil pertemuan berkenaan, laporan itu mencatatkan maklumat mengenai wujudnya dua kem dalam Umno iaitu “kem Putrajaya” dan “kem PWTC”.
Dua kem itu dilaporkan sebagai kumpulan pro-Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan juga yang menyokong Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Kedua-duanya dilaporkan berselisih pendirian mengenai masa yang sesuai untuk diadakan pemilihan parti, sebelum atau selepas PRU15.
Laporan itu juga menyebut rancangan Umno untuk mengadakan perhimpunan khas bagi meminda perlembagaan parti berkenaan tempoh pemilihan parti.
Selain itu, ia juga mencatatkan gerakan untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri BN bagi kempen PRU15. – 29 April, 2022.
Komen