Buli bawa budaya samseng, kata Dr Mahathir


Buli membawa kepada budaya samseng, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2022.

PERBUATAN membuli bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri mengulas kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Langkawi kelmarin.

Seramai 13 pelajar tingkatan empat ditahan polis bagi membantu siasatan.

“Saya sedih membaca berita kes buli di sebuah sekolah di Langkawi. 

“Buli membawa kepada budaya samseng. Kini ianya menjadi kes polis. 

“Saya harap semua pelajar yang terlibat sedar dan ambil peringatan yang buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” kata Dr Mahathir dalam satu catatan ringkas di Facebook.

Semalam, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata seramai 13 pelajar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

““Daripada jumlah kesemua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka merupakan rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum itu melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video sepanjang 25 saat. – 29 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen