BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata beliau tidak boleh dipersalahkan atas kejatuhan nilai ringgit kerana beliau bukan lagi ketua kerajaan.
Sebaliknya, ahli Parlimen Pekan itu berkata orang lain, seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya dipersalahkan.
“Kenapa saya dipersalahkan atas ringgit yang merosot ketika ini? Sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), ringgit berada dalam lingkungan AS$1=RM3.83.
“Sejak PRU14, ringgit semakin lemah dan tidak pernah pulih seperti sebelum PRU14, walaupun sekali.
“Sila tanya Menteri Kewayangan Lim Guan Eng (bekas menteri kewangan ketika PH memerintah), Menteri Kewangan ketika ini (Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) atau tanya Atok (bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad) yang berjanji kepada anda, ‘Najib turun, Ringgit naik’.
“Saya sudah ‘turun’ empat tahun lepas lagi jadi sila pergi salahkan orang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ringgit merosot berbanding dolar AS sebanyak 4.4 peratus dan dolar Singapura sebanyak 2.4 peratus tahun ini didorong terutamanya oleh faktor luaran.
Walaupun ringgit semakin merosot dan kos barangan lebih tinggi, Shahsiah berkata Malaysia tidak akan mengalami hiperinflasi.
Bagaimanapun, beliau berkata BNM akan terus menguruskan risiko yang timbul daripada perkembangan dalam dan luar negara serta memastikan tiada perubahan mendadak dalam nilai ringgit.
Menurut BNM, setakat 29 April, AS$1 bersamaan dengan RM4.359 manakala SGD1 bersamaan dengan RM3.14
Dolar Singapura mencecah paras tertinggi sepanjang masa berbanding ringgit pada 25 April apabila ia didagangkan pada RM3.165.
Menurut Bloomberg, paras tertinggi sebelum ini adalah pada 31 Mac 2017, apabila dolar Singapura meningkat kepada RM3.1650. – 29 April, 2022.
Komen