Ada tikus, kucing dalam khemah besar pembangkang, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya tidak berganjak untuk mengangkat agenda perpaduan dan berkerjasama dengan parti Islam seperti Umno dan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2022.

PAS tidak ingin menyertai gabungan pembangkang dalam gerakan politik digelar khemah besar kerana tidak ingin berkelahi dengan parti terlibat, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Beliau menyifatkan penghuni khemah besar seperti tikus dan kucing yang bercakaran satu sama lain dan PAS enggan terlibat dalam masalah tersebut.

“Kita tidak ikut khemah besar. Kita ada kumpulan kita sendiri, kita masih terus melaksanakan agenda perpaduan ummah.

“Kita tidak ikut khemah besar sebab dalam khemah ada tikus, kucing dan macam macam dalam khemah. Kita bukan khemah, kita bawa agenda perpaduan ummah,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, pendirian PAS tidak berganjak untuk mengangkat agenda perpaduan dan berkerjasama dengan parti Islam seperti Umno dan Bersatu.

Kerjasama itu juga terbuka kepada parti bukan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak ekstremis, katanya selepas menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila, Marang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keterbukaan pemimpin dari Amanah untuk bekerjasama semula dengan PAS dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sikap yang dinyatakan Salahuddin Ayub ditentang DAP yang menegaskan ia hanyalah pandangan peribadi timbalan presiden Amanah itu dan bukan pendirian rasmi Pakatan Harapan.

Pengerusi baharu DAP Lim Guan Eng pada minggu lalu menegaskan parti itu menutup pintu kerjasama ke atas Bersatu dan PAS.

Beliau tidak mempercayai kepemimpinan kedua-dua parti tersebut yang dianggapnya bertindak “tikam belakang” dan berdolak-dalik.

Pada minggu lepas ahli Parlimen Marang itu juga menolak mentah-mentah cadangan untuk bekerjasama semula.

Katanya ia tidak mungkin berlaku kerana sudah cukup sekali PAS bersama parti terbabit menerusi gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum ia dibubarkan pada 2015. – 29 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen