BANK Negara Malaysia (BNM) akan umum pemohon yang layak menerima lesen bank digital hari ini, lapor The Edge Markets.
Laporan memetik sumber itu menyebut 29 syarikat asing dan tempatan memohon lesen berkenaan.
BNM pada Februari lalu berkata ia bakal mengeluarkan paling maksimum lima lesen bank digital kepada pemohon yang layak bagi menubuhkan bank berkenaan untuk urusan perbankan konvensional atau secara Islam di negara ini.
“Kami mahu bank-bank digital menawarkan produk dan perkhidmatan yang relevan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak diberi perkhidmatan supaya lebih ramai orang dan usahawan dapat memiliki aset dengan lebih baik dan menyimpan untuk masa depan atau mengembangkan perniagaan mereka,” kata Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus dipetik media.
Pada Februari lalu juga bank pusat itu berkata penerima lesen bank digital akan diumum pada akhir Mac, tetapi ditangguhkan bagi melengkapkan proses undang-undang.
Menurut BNM, bank digital perlu mengekalkan dana modal minimum yang tidak terjejas oleh kerugian sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh fasa asas, dan selepas tamat tempoh itu, jumlah yang ditetapkan adalah sebanyak RM300 juta. – 29 April, 2022.
Komen