GAJI minimum baharu RM1,500 tidak cukup untuk menghadapi peningkatan inflasi malah tidak dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja dalam sekelip mata, kata P Ramasamy.
Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang menekankan yang jumlah baharu hanya sebanyak RM1,500 itu tidak menggambarkan kerja keras dan pengorbanan pekerja.
“Ia sebenarnya bertujuan untuk melindungi majikan daripada kesan terburuk akibat kelembapan ekonomi baru-baru ini dan untuk melindungi mereka daripada pergolakan buruh dan lain-lain.
“Tidak masuk akal untuk kerajaan muncul dengan gaji minimum RM1,500 yang dianggap meremehkan pengorbanan buruh selama bertahun-tahun dan peningkatan umum dalam produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata asas untuk kerajaan mengumumkan RM1,500 sebagai gaji minimum baharu diselubungi misteri dan kekeliruan.
“Ada keperluan untuk fleksibiliti gaji di mana majikan dan kesatuan sekerja boleh menentukan berdasarkan kuasa pasaran bekalan dan permintaan.
“Apa gunanya memperkenalkan gaji yang menyedihkan dan memalukan apabila keadaan tidak memihak kepada buruh untuk membuat tuntutan kepada majikan,” katanya.
Beliau juga mengecam kesatuan pekerja kerana lebih selesa berkompromi dengan kerajaan dan majikan.
“Sekiranya kesatuan sekerja kuat dan cergas di negara ini, tidak ada keperluan untuk gaji minimum kerana perkara itu boleh dirundingkan demi kepentingan buruh,” katanya.
“Kerajaan mendahului dalam memperkenalkan gaji minimum kerana kesatuan sekerja lemah dan pemimpin atau peniaga mereka sudah terbiasa dengan budaya tolak ansur sehingga hak ahli mereka telah dikorbankan,” tambahnya.
Putrajaya telah memperkenalkan gaji minimum baharu RM1,500 di seluruh negara berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022. – 29 April, 2022.
Komen