DI waktu kegemilangan kompleks hentian bas di tengah bandar Kuala Terengganu ini, para pengusahanya tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan bagi persiapan Hari Raya.
Namun pembangunan yang membawa kewujudan pasar raya dan pusat beli belah baharu sejak lima tahun lalu menyebabkan aktiviti perniagaan di kompleks itu semakin suram.
Pengusaha ini memberitahu The Malaysian Insight, keadaan semakin buruk ekoran apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa bagi mengekang pandemik Covid-19.
Keadaan itu menyebabkan mereka hilang pendapatan sama sekali dan kini menanggung banyak hutang sewa kedai di kompleks dua tingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ini.
Pengusaha terdiri dari tukang yang pakar membuat baju Melayu dan baju kurung, mengubah suai pakaian, membaiki kasut dan membuat cincin perak dan batu permata ini semakin tertekan.
Salah seorang peniaga, Mohd Shah Abdul Ghani, 40, berkata perniagaan mereka teruk merudum dan majoriti peniaga dibebani dengan hutang sewa gerai yang terlalu banyak.
“Macam saya bukan separuh tapi jualan saya merundum 80%. Majoriti peniaga di sini pun begitu juga menyebabkan ramai tak dapat bayar sewa walaupun RM140 sebulan sahaja,” katanya.
Beliau yang juga setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cawangan Kompleks Hentian MBKT berniaga di bangunan tersebut sejak 2010.
Katanya situasi pada masa ini membimbangkan peniaga yang mungkin berdepan dengan risiko gerai mereka akan dikunci oleh MBKT.
Seorang tukang jahit, Mohd Alamin Jais berkata tempoh menjelang hari raya biasanya waktu paling sibuk baginya kerana orang ramai akan mendapatkan khidmat mengubahsuai pakaian.

Mohd Alamin, 50, yang cacat kedua-dua tangannya mendapati perniagaannya semakin merosot sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Kalau dulu pendapatan saya boleh cecah RM2,000 sebulan tapi dalam tempoh lima tahun ini saya hanya cuma dapat RM500 sebulan.
“Masa PKP dua tahun, langsung tak ada pendapatan sebab kedai terpaksa tutup. Tapi mujurlah saya ada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat jadi bolehlah saya bertahan,” katanya.
Beliau yang berniaga di kompleks itu sejak 15 tahun lepas mendapati pengunjung tidak lagi berminat untuk datang kerana hentian bas tersebut tiada kawasan parkir kereta.
Mohd Alamin berkata kekangan itu menyebabkan beliau terpaksa menghantar sendiri pakaian yang siap diubahsuai kepada pelanggan di tingkat bawah.
“Pelanggan selalu merungut mereka susah nak datang sebab masalah parkir kereta. Jadi nak tak nak saya terpaksa hantar jeans mereka sampai ke kereta.
“Kalau tak memang susah orang datang. Sebab saya sekarang ini pun hanya bergantung dengan pelanggan sedia ada,” katanya yang mengambil upah serendah RM5 bagi sepasang seluar.
Ketika ditayna, Mohd Alamin berkata beliau tidak dapat berpindah ke tempat lain kerana sewa yang mahal.
“Saya rasa mustahil saya nak sewa tempat lain sebab harga sewa mahal, saya tak mampu untuk bayar. Itu belum masuk kos operasi pindah nak sewa lori untuk barang-barang.
“Sewa sekarang ini pun sebanyak RM140 saya bergelut juga untuk bayar. Tapi macam mana pun saya tetap akan cuba bayar juga sewa, saya tidak mahu sewa kedai saya tertunggak,” katanya.
Pengerusi persatuan, Muhusin Mohamed berkata kompleks itu mula beroperasi pada 2015 dan mempunyai 400 unit gerai namun kini hanya separuh dihuni kerana kurang sambutan.
Beliau berkata peniaga sememangnya bergelut untuk mempertahankan perniagaan mereka atas pelbagai faktor.
Tambahnya selain masalah parkir, kompleks itu kini hilang daya tarikan terutama kepada orang luar yang tidak tahu kewujudan tempat itu.
“Satunya sebab tak ada papan tanda jadi orang luar tak tahu sangat ada kedai sini yang mereka tahu di sini cuma ada hentian bas sahaja.
“Kemudian masalah parkir. Pelanggan tak ada tempat letak kereta jadi siapa yang datang sini selalunya akan disaman. Jadi mereka pun malas datang dan pergi tempat lain,” katanya.
Muhsin yang membuka kedai makannya sejak 2015 berkata jualan kedai makannya boleh mencecah RM300 hingga RM400 sehari namun kini pendapatannya merosot sehingga 70%.
“Tapi sekarang memang susah sangat. Masa PKP lagilah kita terbeban sangat sebab langsung tak ada orang datang.
“Jadi kita ini berniaga hanya sekadar bertahan sahaja. Tempat ini pun macam hidup segan mati tak mahu mungkin hanya menunggu masa sahaja (untuk ditutup),” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata masalah kesuraman aktiviti perniagaan itu telah lama diajukan kepada pihak MBKT dan difahamkan kompleks hentian itu akan dinaik taraf.
“Memang sebelum ini ada (cadangan) pihak MBKT untuk ubah suai bangunan ini. Tapi tak ada pembinaan parkir dalam rancangan mereka sedangkan itu yang dituntut peniaga.
“Jadi peniaga pun tolak (cadangan ubah suai). Lagi pun peniaga bimbang kalau MBKT buat ubah suai, sewa akan dinaikkan. Sedangkan tak ada jaminan pun perniagaan akan pulih balik.
“Kemudian pihak MBKT tak ada buat apalah dan keadaannya suram seperti yang kita lihat sekarang,” keluhnya. – 29 April, 2022.
Komen