Awang Adek dilantik pengerusi baharu Suruhanjaya Sekuriti


Ahli politik Umno Awang Adek Hussin telah dilantik dengan segera oleh Kementerian Kewangan bagi menggantikan Syed Zaid Syed Jaffar Albar yang meletak jawatan sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti hari ini. – Gambar Facebook, 28 April, 2022.

AHLI politik Awang Adek Hussin telah segera dilantik menggantikan Syed Zaid Syed Jaffar Albar yang meletak jawatan sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkuat kuasa 31 Mei.

Beliau menjadi ahli politik pertama yang dilantik untuk mengetuai pengawal selia kewangan itu.

Ahli Umno itu sebelum ini memegang jawatan timbalan menteri kewangan dari 2006 hingga 2013 dan dipilih sebagai ahli Parlimen Bachok dari 2004 hingga 2008.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta memastikan kesinambungan pentadbiran SC, Kementerian Kewangan telah melantik Awang Adek Hussin sebagai pengerusi eksekutif SC yang baharu berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025.

“Pelantikan ini adalah selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498],” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Awang Adek sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah SC serta merupakan bekas pengerusi Tenaga Nasional Berhad. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Awal hari ini, Syed Zaid telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai pengerusi eksekutif pengawal selia, hanya enam bulan selepas tempoh perkhidmatannya dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun.

Syed Zaid, 67, telah berkhidmat sebagai pengerusi SC selama hampir tiga tahun enam bulan.

Beliau dilantik pada 1 November 2018, dan dilantik semula pada 1 November 2021 oleh Kementerian Kewangan.

Perletakan jawatannya itu berlaku susulan keputusan kontroversi Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas bermasalah Serba Dinamik Holdings Bhd dan empat eksekutif kanan, yang didakwa telah memfailkan penyata kewangan palsu kepada bursa saham. – 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen