SPRM pertahan siasatan ke atas hakim Nazlan


Alfian Z.M. Tahir

SPRM baru-baru ini menjalankan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, susulan aduan berkenaan RM1 juta dalam akaunnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan siasatannya terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, susulan dikritik kerana bertindak demikian, berkata ia ada kuasa untuk menyiasat pegawai jabatan kerajaan seperti termaktub mengikut Akta SPRM.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata berdasarkan kepada prosedurnya, badan anti rasuah itu bertanggungjawab mengesahkan dan menyiasat laporan atau aduan rasmi yang dibuat membabitkan perkara dalam bidang kuasanya.

Ia berkata SPRM diberi kuasa untuk menyiasat ke rasuah mengikut Akta SPRM 2009, termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam seperti dinyatakan dalam Seksyen 3 akta itu.

“Pegawai badan awam” bermakna mana-mana individu yang juga ahli, pegawai, pekerja atau penjawat badan awam, dan termasuk ahli pentadbiran, ahli Parlimen, ahli Dewan Senat, hakim mahkamah tinggi, mahkamah rayuan atau mahkamah Persekutuan, dan individu yang menerima gaji daripada wang awam.

“Selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, sebaik semua proses siasatan sudah lengkap, kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan sama ada pendakwaan akan dilakukan atau tidak,” kata SPRM.

Baru-baru ini, wakil rakyat dan Majlis Peguam mengecam SPRM kerana menjalankan siasatan terhadap Nazlan yang dikatakan memiliki kekayaan yang tidak dapat dijelaskan di dalam akaun banknya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mendakwa SPRM menyerang badan kehakiman sementara Anwar Ibrahim mendesak siasatan dihentikan, berkta kehakiman negara mempunyai mekanisme dalaman untuk memantau dan menyiasat integriti hakim.

Nazlan adalah hakim yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah berhubung kes penyelewengan RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Blog Malaysia Today pada Rabu lalu memuat naik dakwaan Nazlan disiasat kerana memiliki RM1 juta dalam akaunnya.

Sebelum dilantik sebagai hakim, Nazlan pernah bertugas sebagai penasihat am dan setiausaha syarikat untuk Maybank. – 28 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen