PUTRAJAYA mesti memastikan kebebasan badan kehakiman terjamin seperti digariskan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan gabungan pembangkang, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Ia mengingatkan kerajaan yang Perkara 4.1 memorandum itu dengan jelas menyatakan perlu ada kebebasan badan kehakiman pada sepanjang masa.
“Kami menggesa agar kerajaan persekutuan memastikan MoU ini terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman.
“Badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohaamd Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Madius Tangau.
Kebebasan badan kehakiman adalah antara agenda di bawah MoU Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH yang ditandatangani September lalu.
Selain badan kehakiman, MoU itu meliputi pengukuhan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, Perjanjian Malaysia 1963 dan penubuhan jawatankuasa pemandu.
Semalam, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata kritikan terhadap hakim dan badan kehakiman sejak kebelakangan ini sudah melampaui batas.
Beliau berkata walaupun hakim terbuka kepada kritikan, terutamanya apabila ia berkaitan dengan kes berprofil tinggi, serangan baru-baru ini keterlaluan.
Tuanku Maimun juga mengingatkan ahli politik supaya tidak melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap badan kehakiman dan memberi amaran kepada mereka yang cuba mencampuri urusannya.
Kenyataan Tengku Maimun itu dibuat selepas dakwaan beliau bersetuju campur tangan dalam kes mahkamah bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang membawa kepada pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis menafikannya.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan kini Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mempengerusikan perbicaraan SRC International Najib juga membuat laporan minggu lepas berhubung artikel berita yang mendakwa beliau disiasat kerana wang yang tidak dikenal pasti dalam akaun banknya. – 28 April, 2022.
Komen