SEBANYAK empat kampung di Tambunan iaitu Kampung Dabata, Kampung Nambayan, Kampung Lalapakon dan Kampung Gana terjejas akibat banjir lewat petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan menerima panggilan kecemasan mengenai banjir di Kampung Gana pada 6.28 petang susulan hujan lebat di kawasan hulu Sungai Pegalan.
“Pasukan bomba memantau kawasan terlibat dan mendapati terdapat tiga lagi kampung turut dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaaan. Tiada pemindahan mangsa dijalankan (pihak berkuasa) setakat ini.
“Ada penduduk kampung yang rumahnya dinaiki air telah berpindah sendiri ke kawasan yang selamat sebelum ketibaan pihak bomba. Setakat ini, anggota bomba masih melakukan pemantauan di lokasi,” katanya ketika dihubungi pemberita malam ini.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan oleh anggota bomba malam ini, banjir di kawasan kampung dan jalan sekitar Kampung Dabata dan Kampung Gana semakin surut selain beberapa jalan raya di kampung itu sudah boleh dilalui kenderaan.
Tambunan merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah, terletak kira-kira 80 kilometer ke arah Timur dari Kota Kinabalu. – Bernama, 27 April, 2022.
Komen