Adakah Malaysia dikepung kartel makanan?


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum siasatan ke atas kartel makanan kerana kewujudan mereka dalam sistem pengedaran makanan akan menjejaskan lagi keadaan tidak terjamin makanan negara yang kita alami selama beberapa dekad.

Satu kelemahan utama Malaysia ialah mengimport hampir 60 peratus makanan yang diperlukannya, menjadikannya sangat terdedah kepada kekurangan makanan menyebabkan harga makanan meningkat dan nilai Ringgit yang lemah memburukkan lagi keadaan kerana import makanan diurus niaga dalam mata wang asing.

Keadaan tidak terjamin makanan adalah akibat kurangnya penekanan terhadap pengeluaran makanan selama beberapa dekad memandangkan Malaysia memberi tumpuan kepada pelbagai bentuk ‘pembangunan’ sehingga mengabaikan dasar pertanian.

Pada Disember 2021, Persatuan Pekebun-Pekebun Melayu Cameron Highlands Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, mendakwa dalam laporan berita bahawa harga sayur-sayuran tidak boleh ditetapkan oleh mana-mana peniaga sayur tetapi oleh kartel.

Beliau memetik Pasar Borong Selayang sebagai contoh, sambil menambah bahawa sesiapa yang menjual di bawah harga akan dijauhi oleh peniaga lain dan akhirnya rakan peniaga akan mencari jalan untuk memaksa orang itu keluar dari pasaran.

Adakah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiasat dakwaan tersebut? Ia adalah satu dakwaan yang sangat serius kerana ia menunjukkan harga makanan dimanipulasi oleh kartel.

Kami menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memenuhi tanggungjawabnya untuk meningkatkan pemasaran hasil pertanian, memaksimumkan pulangan kepada petani, dan memberi nilai kepada pengguna.

FAMA sepatutnya mengambil bahagian dalam mekanisme pengedaran untuk menjadikannya lebih cekap daripada menyerahkannya kepada orang tengah untuk mengisi peranan itu. Sehingga kini Fama secara umumnya gagal dalam usahanya itu.

Kami juga menyeru kerajaan untuk menghapuskan Permit Import (AP) untuk barangan keperluan kerana monopoli sedemikian boleh menyebabkan kenaikan harga akibat daripada pencatutan oleh pemegang AP. Dengan menghapuskan AP, akan wujud persaingan yang sihat dalam pasaran. – Bernama, 27 April, 2022.

* Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen