Syarikat Perancis didakwa terlibat rasuah pembelian kapal selam Malaysia


Pembelian dua kapal selam Scorpene dibuat ketika Najib Razak jadi menteri pertahanan. – Gambar EPA, 27 April, 2022.

SYARIKAT pertahanan Thales telah didakwa di mahkamah Perancis kerana bersubahat dalam rasuah berkait penjualan kapal selam pada 2002 kepada Malaysia, kata sumber rapat siasatan kes itu.

Kes yang berlarutan sekian lama itu dibuka pada 2010, yang akhirnya mengaitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Perjanjian bernilai AS$1.2 bilion bagi pembelian dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta bersama unit limbungan tentera laut Perancis DCN ditandatangani ketika Najib jadi menteri pertahanan.

DCN kini sebahagian daripada Thales menerusi perjanjian bernilai AS$1.2 bilion (RM5.23 bilion).

Rakan sekutu Najib, Abdul Razak Baginda, bertindak sebagai penasihat dalam perjanjian tersebut. Razak Baginda dituduh menggelapkan sogokan lebih 114 juta euro (RM528 juta) sebagai “kerja-kerja rundingan” melalui sebuah syarikat di mana beliau adalah pemegang saham terbesar.

Wang itu kemudian didakwa diberi kepada Najib, yang kini dihadapkan dengan pertuduhan kes rasuah.

Razak Baginda didakwa di Perancis pada 2017, manakala Najib telah disoal siasat agensi antirasuah Malaysia.

Secara keseluruhannya, sembilan defendan termasuk Thales telah didakwa di Perancis dan siasatan ditutup pada Januari 2022, kata sumber.

Antara yang didakwa termasuk bekas pengerusi DCN International Philippe Japiot, bekas ketua eksekutif Thales Jean-Paul Perrier dan dua bekas eksekutif lain.

Keempat-empat mereka menafikan sebarang salah laku manakala kerajaan Malaysia berkata tiada unsur rasuah dalam kontrak tersebut.

Thales ketika dihubungi AFP menentang sekeras-kerasnya dakwaan terhadap syarikat itu.

Pendakwa raya pejabat jenayah kewangan Perancis akan mempertimbang permintaan lanjut hakim yang akan memutuskan sama ada kes itu akan dibicarakan di mahkamah atau tidak, walaupun rayuan berhubung kes itu difailkan pada Mei 2021. – AFP, 27 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen