Zuraida jangan nafi dakwaan buruh paksa, kata Ramasamy


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin silap apabila menafikan kewujudan amalan buruh paksa dalam sektor perladangan Malaysia, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata sasaran Zuraida untuk menyelesaikan tuduhan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) dan Kesatuan Eropah (EU) dalam tempoh enam bulan adalah strategi yang salah.

Beliau mempersoalkan sama ada Zuraida mampu meyakinkan CBP AS atau EU bahawa tiada amalan buruh paksa di ladang-ladang di Malaysia.

“Saya fikir Zuraida tidak perlu mengambil pendekatan agresif dalam mempertahankan syarikat Malaysia.

“Zuraida mungkin seorang menteri yang kuat semangat, tetapi beliau harus sedar mengenai hakikat fenomena buruh paksa,” tulis Ramasamy di Facebook hari ini.

Jumaat lalu Zuraida dilapor media berkata kementeriannya telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan CBP AS pada bulan ini namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Pertemuan dengan EU pula melibatkan sesi perbicaraan dan pendengaran pada 8-18 Mei ini, tambahnya.

“Pertemuan dengan CBP AS dan EU ini adalah bagi menjawab tuduhan mereka selain memberi  penjelasan kepada mereka mengenai tafsiran terma mereka yang berlainan dengan kita. 

“Apabila ada libat urus ini kita boleh beri penjelasan untuk mereka faham bahawa terma itu berbeza selain dapat mengurangkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas (terhadap minyak sawit termasuk penggunaan buruh paksa),” katanya dipetik Bernama. – 27 April, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen