PULAU Pinang hari ini mempertahankan rancangannya untuk mendapatkan pinjaman jutaan ringgit dari China bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tindakan kerajaan negeri meminjam wang dari China bukan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya pinjaman yang akan dilakukan tertakluk kepada kelulusan Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan menteri kewangan dan kerajaan China.
“Ada yang mengaitkannya dengan 1MDB. Tetapi itu ialah syarikat swasta yang menjalankan urus niaga dengan bank komersial dan persendirian. Bagaimana mereka gunakan wang terpulang kepada mereka.
“Ini adalah urus niaga kerajaan dengan kerajaan. Pinjaman itu datang dari negara, China; bukannya bank persendirian. Ada terma dan syarat ketat yang perlu diikuti,” katanya kepada wartawan di Komtar hari ini.
“Saya mahu beritahu kepada mereka semua yang masih tidak faham atau berpura-pura tidak faham.
“Sekiranya China mahu pinjamkan kita duti, mereka tidak boleh beri kepada kita tunai secara langsung. Mereka perlu melalui bank mereka, atau dalam hal ini Export-Import Bank of China.”
Dewan undangan negeri Pulau Pinang semalam meluluskan Enakmen Pinjaman Pulau Pinang (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017.
Enakmen itu membenarkan kerajaan negeri untuk meminjam duit daripada mana-mana bank atau sumber kewangan yang diluluskan kerajaan persekutuan, bagi tujuan pelaburan kewangan; pelaksanaan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial di Pulau Pinang; atau hal-hal lain.
Pinjaman yang dilakukan menerusi enakmen itu tidak boleh melebihi tempoh lima tahun.
Lim juga berkata semalam yang pinjaman itu, yang mengenakan kadar faedah lebih rendah, akan diambil bagi membiayai PTMP.
Sebelum undang-undang itu diluluskan, persoalan dibangkitkan beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan tentang rancangan pinjaman itu, dan mekanisme semak dan seimbang bagi memastikan kerajaan tidak akan meminjam terlalu banyak serta isu lain yang mungkin akan timbul nanti.
Lim berkata perundangan baru itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuklah daripada pembangkang Barisan Nasional, selepas dia, Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy dan exco kerajaan tempatan, exco mitigasi banjit dan pengurusan trafik Chon Kon Yeow memberikan penjelasan panjang lebar.
Lim juga mengatakan yang kesediaan China untuk meminjamkan wang kepada Pulau Pinang bermakna negara itu mengakui kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan sihat.
Katanya lagi, Pulau Pinang adalah negeri yang paling kurang hutang berbanding negeri lain di Malaysia.
“Kami mempunyai paling kurang hutang iaitu RM64.5 juta. Itu hanyalah 0.4% daripada jumlah baki pinjaman kerajaan negeri berjumlah RM17.9 bilion.
“Kami mentadbir negeri ini dengan baik. Hutang kita yang paling rendah. Kita mampu pinjam lebih banyak wang,” katanya.
Pahang, Sabah dan Sarawak mempunyai hutang paling banyak iaitu RM3.1 bilion (Pahang), RM2.8 bilion (Sabah) dan Sarawak berhutang RM2.5 bilion.
Ditanya berapa banyak Pulau Pinang boleh meminjam dari China, Lim berkata jumlah itu dalam lingkungan beberapa ratus juta sehingga ke satu bilion.
“RM1 bilion paling banyak, tetapi saya tak fikir sebanyak itu kerana kita perlu bayar balik dalam masa lima tahun, dan anda tahu yang LRT (transit aliran ringan) ialah projek 10 tahun,” katanya.
Kerajaan negeri mungkin perlu meletakkan pajakan aset seperti tanah untuk pinjaman itu tetapi masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu, tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai kenyataan Shah Headan Ayoob Hussain (BN-Teluk Bahang) yang kerajaan negeri tidak sepatutnya mengambil pinjaman untuk membiayai PTMP, kerana ia tidak akan menjana pendapatan yang mencukupi untuk bayaran kembali pinjaman, Lim berkata yang Pulau Pinang tidak akan mempunyai masalah untuk membayar balik kepada China.
“Pastinya kita boleh bayar balik. Kita ada model kewangan kita sendiri.
“Sekiranya kita tak ada kemampuan untuk bayar balik, China- negara yang sangat teliti dengan dana asing negaranya- pastinya tidak akan meminjamkan kita duit.
“Itu bukan faktornya. Sebab di akhirnya, sama ada kerajaan persekutuan hendak meluluskan permohonan pinjaman itu atau tidak,” katanya. – 26 Mei, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Trabado villaspin · Ulasan