PENURUNAN ketara ujian Covid-19 akan menyebabkan mutasi yang berpotensi meningkatkan penularan virus itu gagal dikesan, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata dunia belum boleh menarik nafas lega walaupun laporan kes baharu dan kematian akibat jangkitan Covid-19 turun begitu mendadak.
“Minggu lalu hanya 15 ribu kematian dilaporkan kepada WHO – angka mingguan terendah sejak Mac 2020,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media semalam.
Beliau memberi amaran penurunan kes baharu juga mungkin kerana ujian pengesanan Covid-19 yang semakin kurang.
“Ini menyebabkan kita tidak tahu corak jangkitan dan mutasi virus,”
“Apabila membabitkan virus yang berbahaya ini sudah tentu akan memudaratkan,” katanya.
Kebimbangan Tedros itu disokong oleh ketua FIND, William Rodriguez, mengkritik kebanyakan negara yang sudah tidak menjalankan ujian pengesanan Covid-19 sejak beberapa bulan lalu.
Bercakap pada sidang media sama semalam, Rodriguez berkata kadar ujian di seluruh dunia turun mendadak antara 70 hingga 90% sejak empat bulan lalu, ketika peningkatan kes membabitkan varian Omicron.
Penurunan kadar pengesanan itu katanya berlaku ketika kini lebih banyak akses bagi mendapatkan ketepatan ujian didapati berbanding semasa permulaan pandemik.
Pandemik Covid-19 setakat ini telah meragut lebih enam juta nyawa sejak virus itu mula dikesan di China pada akhir 2019. Jumlah sebenar angka kematian dipercayai tiga kali ganda lebih banyak.
Ketika banyak negara mula melonggarkan sekatan pergerakan bagi mengekang wabak, WHO menegaskan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.
“Virus ini tidak akan hilang begitu sahaja kerana banyak negara sudah berhenti mengesannya.
“Ia masih merebak, bermutasi dan meragut nyawa,” katanya, menambah ancaman varian baharu bukanlah tidak harus dipandang ringan.
“Walaupun angka kematian berkurang, kita masih tidak tahu kesan jangka panjang jangkitan ke atas bekas pesakit.” – AFP, 27 April, 2022.
Komen