3 cedera dalam letupan pelupusan mercun di Sentul


Letupan dari tapak pelupusan mercun di Sentul Work di Kuala Lumpur turut merosakkan sekolah Punjabi, beberapa rumah dan lot kedai. – Gambar ehsan bomba, 26 April, 2022.

TIGA cedera dalam letupan semasa melupuskan mercun, bunga api di sebuah stor penyimpanan barang kes di Sentul petang tadi.

Letupan berlaku pada jam 6.15 petang ketika sepasukan polis sedang melupuskan bunga api yang dirampas dalam pelbagai serbuan di daerah itu.

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran yang melawat tapak itu berkata letupan itu yang kedengaran dalam radius 1km dari lokasi letupan merosakkan sekolah Punjabi, beberapa rumah dan lot kedai.

Dinding kaca Public Bank di Sentul Boulevard berhampiran juga pecah dalam kejadian itu.

“Menurut pihak berkuasa tiga orang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan pesakit luar,” kata Prabakaran.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata kejadian itu melibatkan kawasan simpanan seluas 30m x 15m.

Beliau berkata 30% daripada struktur itu musnah dan kira-kira 80% kawasan sekitar rosak akibat letupan itu.

“50 kenderaan turut rosak dalam kejadian itu.”

Prabakaran berkata, gegaan akibat letupan itu merosakkan beberapa rumah dan bangunan.

“Tingkap pecah dan siling rosak. Terdapat juga serpihan bunga api di sekitar kawasan itu.

“Kami juga telah memberitahu orang ramai untuk membuat laporan polis. Kami kemudian akan menilai kerosakan dan melihat apa bantuan yang boleh kami berikan.”

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang melupuskan bunga api bernilai RM4.1 juta yang dirampas baru-baru ini.

Terdahulu hari ini, tular di media sosial dengan video kejadian yang menunjukkan kepulan asap dari bangunan.

Bunyi bunga api berbunyi turut kedengaran di sekitar kawasan itu. Kelipan cahaya juga kelihatan datang dari bangunan yang musnah itu. – 26 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen