KERAJAAN persekutan dan kerajaan Pahang hari ini menandangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pahang.
Majlis menandatangani perjanjian tambahan membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan Pahang, Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) itu berlangsung di Putrajaya dengan disaksikan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Mansor Othman.
Perjanjian tambahan itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Ir Dr Zaini Ujang, Setiausaha Kerajaan Pahang Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP Saiful Zaini Mohd Bahari.
Wan Rosdy dan Mansor dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena majlis itu berkata pemeteraian penjanjian tambahan itu membolehkan perjanjian utama yang dimeterai di Kuantan, Pahang pada 23 Disember 2020 dikuatkuasakan serta penstrukturan semula industri perkhidmatan air Pahang dilaksanakan.
Antara intipati perjanjian tambahan itu ialah pemberian moratorium kepada PAIP bermula daripada kenaikan tarif air dan menetapkan tempoh pinjaman selama 45 tahun diberikan kepada PAAB termasuk tempoh lima tahun penangguhan pinjaman berkuat kuasa mulai tarikh kenaikan tarif air di negeri Pahang dilaksanakan.
“Penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Pahang tidak memberi implikasi kewangan secara langsung kepada kerajaan Persekutuan dan masih berpegang kepada persetujuan pelaksanaan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar kepada Pahang yang berjumlah RM1 bilion,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut PAIP juga mendapat akses kepada kemudahan pinjaman PAAB bagi pembangunan aset-aset air di Pahang berdasarkan pendekatan build and lease pada kadar kompetitif berbanding pembiayaan komersial.
“Ia membolehkan PAIP memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip serta sistem agihan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan kesepakatan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ke arah penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Pahang akan memberikan impak positif yang tinggi kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di Pahang.
“Komitmen semua pihak dalam memastikan penyediaan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti tinggi adalah bertepatan dengan pendekatan Keluarga Malaysia yang membawa falsafah kebersamaan dan inklusif,” katanya.
Pada 23 Disember 2020, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan persekutuan bersetuju melaksanakan hapus kira pinjaman kerajaan Pahang berjumlah RM2.1 bilion menerusi Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pahang.
Menurut Tuan Ibrahim, ia melibatkan pinjaman bekalan air luar bandar berjumlah RM1 bilion dan bakinya ialah novasi pinjaman kerajaan negeri kepada PAAB yang akan membangunkan aset air di Pahang melalui pendekatan bina dan pajak kepada PAIP. – Bernama, 26 April, 2022.
Komen