Peniaga ayam mengaku tidak bersalah guna wang palsu


SEORANG peniaga ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menggunakan wang palsu berjumlah RM700 pada minggu lepas.

Rohamad Mohamad Saaid, 58, didapati menggunakan sebagai tulen mata wang Malaysia iaitu tujuh keping RM100 yang palsu pada 12.15 tengah hari 18 April lepas, yang didepositkan ke akaun seorang individu di sebuah bank di Indera Mahkota di Kuantan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan sebanyak RM8,000 atas alasan menanggung isteri dan seorang anak.

Hakim Mohd Kafli Che Ali kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim. – Bernama, 26 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen