PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengawal selia bahan kimia pengganggu endokrin (EDCs) dalam produk dijual di negeri ini kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata pihaknya membuat gesaan itu berikutan ujian dijalankan ke atas pemadam dan kertas termal di Malaysia mengandungi EDCs dan pada masa ini, tidak terdapat standard analog bisphenol A (BPA) atau derivatif dalam kedua-dua bahan tersebut.
“Pemadam yang dibeli dari kedai terkenal di negeri ini kebanyakan buatan China dengan sesetengah mempunyai ciri-ciri khayalan seperti bentuk lucu, watak kartun dan bau buahan yang boleh menarik kanak-kanak meletakkannya ke dalam mulut mereka.
“Daripada 44 sampel kertas termal yang kami ambil di pelbagai tempat awam seperti hospital, pejabat pos dan kedai runcit mendapati 27 daripadanya mengandungi BPA dan 13 sampel bisphenol S(BPS) manakala kajian ke atas pemadam daripada 40 sampel yang diuji mendapati 26 daripadanya dikesan terdapat bahan kimia ftalat,” katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.
Beliau berkata menurut laporan Plastics, EDCs and Health mendapati EDCs dikaitkan dengan gangguan neurologi dan tingkah laku, obesiti, disfungsi metabolik, gangguan reproduktif serta kanser sensatif hormon.
Mohideen berkata pakar memberi amaran bahawa pendedahan kepada EDCs dan kesannya boleh berlaku pada dos amat rendah, bawah nilai ambang peraturan ditetapkan dan terdapat kecenderungan tiada dos selamat bagi EDCs.
Selain itu, katanya menerusi Persidangan Asia Bebas EDCs pada 31 Mac lepas dan turut dihadiri CAP telah mengumumkan hasil ujian bagi kehadiran EDCs dalam pemadam serta kertas termal yang mana ia mendedahkan bahaya produk dengan toksik EDCs kepada kanak-kanak serta orang ramai.
“Pasukan penyelidik International Pollutants Elimination Network (IPEN) juga memberi amaran bahawa BPA masih meluas penggunaannya memandangkan ia hanya diharamkan dalam beberapa produk di sesetengah negara malah apa lebih membimbangkan ialah peningkatan penggunaan bispenol sama yang mengancam kesihataan manusia dan alam sekitar,” katanya.
Katanya, memandangkan kesan kesihatan dikaitkan dengan EDCs, CAP menggesa pihak berkuasa mengawal selia bahan kimia itu dalam produk dijual di negeri ini kerana banyak negara sudah pun mengawal bahan kimia berbahaya tersebut sejak beberapa tahun lepas. – Bernama, 26 April, 2022.
Komen