Orang ramai perlu tahu perbincangan undang-undang antilompat parti, kata Bersih


Alfian Z.M. Tahir

ORANG awam mesti terlibat dan dimaklumkan dengan jelas mengenai undang-undang antilompat parti supaya rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan itu memenuhi jangkaan mereka, kata Bersih.

Badan pemantau pilihan raya itu menegaskan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) tidak boleh menyekat penyertaan orang ramai dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung perkara itu.

“Walaupun minit mesyuarat dalamannya boleh dirahsiakan, jawatankuasa perlu mendedahkan perkara berikut kepada umum; tarikh dan tempat mesyuarat diadakan, keputusan penting mesyuarat, perkembangan draf RUU, penyerahan bertulis dan lisan yang dibuat oleh pihak berkepentingan.”

“Kami menyeru PSSC untuk berani menamatkan ‘budaya rahsia’ dalam penggubalan undang-undang di Malaysia, yang merupakan peninggalan penjajah yang orang ramai tidak boleh dipercayai untuk mengetahui dan memberi input mereka mengenai undang-undang yang memberi kesan kepada mereka.”

 “Ia juga melambangkan keangkuhan elitis bahawa ‘ahli politik dan birokrat tahu yang terbaik’, tidak mempunyai tempat dalam abad ke-21, dan bercanggah dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’,” kata Bersih.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perbincangan dan penemuan yang dibentangkan kepada jawatankuasa pilihan Parlimen (PSC) dilindungi di bawah OSA.

“Ahli dalam PSC bertanya kepada saya sama ada (mesyuarat) dilindungi di bawah OSA.

“Ini kerana tidak dibolehkan oleh Peraturan Dewan Rakyat itu sendiri melainkan laporan itu telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat, baru ia menjadi dokumen awam,” katanya pada satu majlis pada Rabu lalu.

Wan Junaidi juga berkata sebagai seseorang yang mematuhi undang-undang dan perintah tetap Parlimen, beliau tidak akan mendedahkan sebarang butiran mengenai mesyuarat PSC.

“Sebab itu saya diam. Saya tidak boleh komen kerana saya tidak boleh dedahkan (lebih lanjut). Saya tidak perlukan publisiti,” tambah Wan Junaidi.

Bersih mengingatkan PSSC yang RUU itu tidak boleh tergesa-gesa di Parlimen pada Jun.

Ia menambah PSSC juga mesti menangani percanggahan pendapat utama semasa perbahasan Parlimen pada 11 April sama ada ahli Parlimen yang dipecat parti mereka juga perlu dipecat daripada Dewan.

“Orang awam mesti dimaklumkan mengenai persoalan berkaitan ini dan cadangan pemulihan untuk memastikan akta antilompat parti tidak akan tersasar, tidak efektif atau menjejaskan demokrasi berparlimen.”

“Harapan orang ramai terhadap proses dan kualiti perundangan dibangkitkan oleh kedua-dua kecacatan dalam draf semasa dan langkah pembaikan yang patut diambil oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan.”

“Bersih menggalakkan PSSC meneruskan perjalanan berani ini untuk menghasilkan akta antilompat parti yang boleh diterima oleh semua pihak, dan tidak membenarkan ‘budaya rahsia’ lama menghalang penggubalan undang-undang yang bertanggungjawab, telus dan serta sama,” katanya. – 26 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen