Perak benar solat sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan


Sultan Perak memberi perkenan solat sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang tanpa penjarakan fizikal pada 1 Syawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2022.

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan di negeri itu tanpa penjarakan fizikal pada 1 Syawal.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Annuar Zaini berkata baginda bertitah dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada pegawai tadbir agama daerah dan balai polis atau pondok polis terdekat.

“Solat sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau. Aktiviti takbir Aidilfitri juga boleh diadakan dari rumah ke rumah,” katanya dalam kenyataan di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet serta aktiviti ziarah kubur juga dibenarkan.

Menurutnya, hidangan jamuan secara terbuka atau bufet turut boleh diadakan di masjid dan surau bermula solat Maghrib, Khamis ini.

Katanya, Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka. – Bernama, 26 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen