Banjir kilat landa KL, ahli Parlimen DAP tuntut penjelasan 2 kementerian


Semalam, beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat mulai jam 3 petang.– Gambar Facebook DBKL, 26 April, 2022.

AHLI Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini menuntut penjelasan segera daripada dua kementerian susulan  banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur semalam.

Bagaimana kejadian semalam boleh berlaku sedangkan projek tebatan banjir menelan kos yang tinggi, soalnya.

Ahli Parlimen DAP itu berkata Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man perlu memberi penjelasan kepada penduduk Kuala Lumpur yang sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

“Kedua-dua menteri ini perlu mendedahkan kepada masyarakat umum, sama ada sebarang penilaian kesan alam sekitar menyeluruh di Lembah Klang sudah dijalankan atau sebaliknya.

“Ini kerana, warga Kuala Lumpur tidak terlepas daripada banjir besar setiap kali hujan lebat kurang setengah jam. Kereta mereka perlu dibaiki, selain rumah perlu dibersihkan dengan setiap kejadian akan mengakibatkan kerugian harta bernilai jutaan ringgit.

“Pembangunan mampan sangat diperlukan di kawasan bandar, sebaliknya bukan hanya tertumpu kepada bangunan pencakar langit yang akan memburukkan lagi keadaan, jika pembinaannya tidak dikawal.

“Hujan lebat tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana ia bukanlah suatu bencana alam. Sebaliknya, banjir kilat akibat hujan lebatlah bencana besar kepada warga Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat mulai jam 3 petang.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui hantaran di Facebook berkata antara kawasan yang terjejas termasuk Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Halim (Jalan Ipoh), Jalan Segambut, Jalan Semantan, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thambi Dollah dan Jalan Travers.

Menurut Pusat Pengurusan Pengangkutan (Itis) DBKL, sebanyak 14 laluan utama di ibu negara dinaiki air setakat jam 4.30 petang, menyebabkan kesesakan lalu lintas di kebanyakan kawasan bandar.

Mengulas lanjut, Lim berkata Kementerian Wilayah Persekutuan juga Kementerian Alam Sekitar dan Air masih gagal menangani masalah banjir kilat yang berulang.

“Cukuplah. Banjir semalam jauh lebih teruk berbanding Disember tahun lepas.

“Kejadian berlaku tidak sampai empat bulan, dan ini membimbangkan penduduk KL,” katanya. – 26 April, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen