Potong gaji CEO bukan pekerja


SAYA merujuk kepada kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang menyatakan bahawa ada kewajaran untuk membolehkan majikan
memotong gaji pekerja yang bekerja dari rumah.

Bagi saya ia sesuatu yang tidak wajar.

Alasan diberikan ialah penjimatan kos perjalanan dan serta kesan terhadap produktiviti kerja. Disebut juga penurunan antara 10%-12% adalah sesuatu yang dikira boleh diterima beliau.

Inilah masalahnya di Malaysia apabila syarikat mengalami kesusahan pekerja kecil adalah orang yang menanggungnya walaupun kegagalan itu berpunca daripada pihak pengurusan. 

Baru-baru ini kita lihat bagaimana syarikat yang rugi berbilion ringgit tapi pada masa yang sama ketua pegawai eksekutif (CEO) mengaut gaji dan dividen beratus juta jumlahnya.

Kalau benarlah MEF hendak berkira tentang penjimatan kos perjalanan maka haruslah dipersoalkan kos internet dan kos elektrik bekerja dari rumah.

Sudah tiba masanya kita membawa budaya baru dalam dunia korporat Malaysia, daripada asyik menekan pekerja kecil kita persoalkan keberkesanan dan kecekapan CEO dan pengurusan yang bergaji besar.

Kita boleh mulakan dengan memotong, tidak banyak, mungkin sekadar 10%-12% gaji seorang pengarah eksekutif yang memalukan dan merosakkan reputasi badan yang diwakilinya dengan kenyataan bersifat dangkal serta cetek.

Pemotongan 10%-12% gaji seorang pengarah eksekutif jauh lebih menjimatkan kos pengurusan berbanding dipotong daripada seorang kerani. – 25 April, 2022. 

* Zaidel Baharuddin, naib presiden Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen