Guan Eng gesa PM kekang sikap berat sebelah SPRM


Pengerusi DAP LIm Guan Eng amalan siasatan terpilih oleh SPRM perlu dikekang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu mengekang amalan siasatan terpilih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Lim Guan Eng.

Paling baharu ialah siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang didakwa mempunyai kekayaan yang didakwa tidak dapat dijelaskan sumbernya, menurut pengerusi DAP itu.

Nazlan adalah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib Razak pada 28 Julai 2020 dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Ini sangat bertentangan dengan sikap tidak acuh SPRM menyiasat kekayaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang tidak dapat dijelaskan. 

“Terdapat berat sebelah, sikap tidak profesional malah salah guna kuasa yang ketara apabila Azam melancarkan siasatan segera ke atas kekayaan Nazlan yang didakwa tidak dapat dijelaskan, tetapi tidak berbuat perkara yang sama ke atas kekayaan Azam yang sah tidak dapat dijelaskan membabitkan berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Lim, Suruhanjaya Sekuriti juga telah mendedahkan Azam berbohong apabila berkata adiknya menggunakan akaunnya untuk membeli saham, sedangkan Azam adalah pemegang tunggal dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan tersebut.

“Adakah Ismail Sabri akan tegas mengekang amalan siasatan terpilih SPRM yang membolehkan perasuah terlepas tetapi menghukum orang yang jujur?

“Keadilan tidak ditegakkan dalam kes-kes sebegini. Tiada pemimpin kerajaan yang bersuara lantang menentang sikap berat sebelah SPRM,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Lim turut mempersoalkan apakah SPRM dijadikan senjata politik atau disalah guna demi kepentingan politik. – 25 April, 2022.     

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen