AHLI politik dan parti mereka perlu membuang politik berasaskan agama yang bahaya dan mengutamakan keperluan rakyat bagi mewujudkan masyarakat lebih inklusif, kata Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak).
Exco Gerak Ngo Sheau Shi berkata ahli politik perlu melaksanakannya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bercakap pada sidang media mengenai inisiatif “Agenda Rakyat untuk PRU15”, Ngo menggesa ahli politik supaya komited menghapuskan semua bentuk diskriminasi dan eksploitasi menjelang PRU akan datang.
“Saya fikir dalam PRU akan datang, kita mahu kerajaan yang secara saintifik, teknikal serta moral dapat membina dasar yang berdaya tahan merentas masyarakat kita yang pelbagai dari segi jantina, kewarganegaraan, etnik, agama, umur, keupayaan dan juga lokasi.
“Jadi kami ingin menyeru rakyat Malaysia menyokong calon ahli politik dan parti yang mampu mengemukakan visi yang boleh dilaksanakan dengan manifesto pilihan raya yang saksama,” kata Ngo, yang juga pensyarah kanan.
Lima perkara penting yang diketengahkan pada pembukaan Agenda Rakyat hari ini ialah memartabatkan maruah dan kualiti hidup rakyat; menggalakkan pembangunan saksama, mampan dan menangani krisis iklim; meraikan kepelbagaian dan keterangkuman; menyelamatkan demokrasi dan menegakkan kedaulatan undang-undang; serta memerangi rasuah dan kronisme.
Selain Gerak, kumpulan lain majlis itu turut disertai Aliran, Pacos Trust dari Sabah, Save Rivers dari Sarawak, Suaram dan Undi18.
Agenda Rakyat telah disahkan oleh 53 masyarakat sivil dan kumpulan berkepentingan awam.
Ngo berkata pemimpin politik perlu memperbetulkan ketidaksamaan yang berterusan dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan masyarakat yang kurang bernasib baik.
“Kami percaya pemimpin politik masa depan perlu mengakui dan memahami kekuatan desentralisasi penggubalan dasar di peringkat makro dan inklusif dalam mereka bentuk objektif program untuk tindakan peringkat mikro,” katanya.
Merujuk kepada salah satu cadangan pembaharuan institusi pendidikan di Malaysia oleh Gerak, Ngo berkata ia bertujuan untuk menggantikan kriteria berasaskan etnik dengan langkah yang lebih adil.
“Gerak sebenarnya mencadangkan supaya kemasukan ke universiti dan pengajian tinggi berdasarkan merit serta kehadiran afirmatif diberikan kepada pelajar daripada latar belakang kurang berkeperluan dan berkeperluan khas.
“Kami percaya kemasukan pelajar universiti harus mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia dari segi kelas, jantina, kebolehan dan agama serta lokasi,” tambahnya.
Penceramah lain pada sidang media itu ialah Anne Lasimbang dari Pacos Trust, Peter Kallang dari Save Rivers, Seven Dorasamy dari Suaram dan Tharma Pillai dari Undi18.
Presiden Aliran Anil Netto menyeru rakyat Malaysia supaya tidak berkecil hati dengan keadaan negara, berkata sudah tiba masanya untuk memperjuangkan kelangsungan hidup negara.
Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mengundi calon dan parti yang menunjukkan komitmen terhadap lima perkara tersebut.
“Kami menyeru parti politik dan calon supaya mengutamakan rakyat dan negara.
“Mereka harus bekerjasama dalam pilihan raya berdasarkan lima perkara ini dan mengelakkan pergaduhan pelbagai penjuru demi kepentingan negara,” katanya.
Netto berkata Agenda Rakyat akan tetap terbuka untuk oleh kumpulan masyarakat sivil lain sehingga PRU, supaya ia mencapai khalayak yang lebih luas.
Beliau juga berkata, Agenda Rakyat akan dihantar kepada semua parti politik pada penghujung April dan sekali lagi apabila PRU diumumkan. – 25 April, 2022.
Komen