SPRM usah ganggu badan kehakiman


SAYA Hassan Abdul Karim, seorang ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memantau SPRM, berasa kesal terhadap campur tangan SPRM mengganggu kebebasan badan kehakiman dengan melakukan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab untuk sama-sama mempertahankan kebebasan badan kehakiman Malaysia. Hakim-hakim mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak Eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang terhadap Hakim Mohd Nazlan, seorang hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

Tidak dinafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim-hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk kesalahan bersifat jenayah seperti rasuah. 

Tetapi ada kaedahnya yang khusus di mana tindakan sedemikian boleh dilakukan iaitu melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kes Tribunal Bebas yang berkaitan pemecatan bekas ketua hakim negara Salleh Abas adalah satu contoh.
 
SPRM perlu menyedari bahawa Hakim Nazlan dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat perdana menteri. 

SPRM tidak boleh perlakukan sesuka hati ke atas seorang hakim mahkamah hanya berdasarkan wujudnya satu laporan rasmi polis dilakukan ke atas hakim tersebut.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah bagaimana seorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.

Sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan maka akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah.

Perlu difahami sekarang telah wujud persepsi bahawa tindakan ke atas Hakim Nazlan ini ada kaitannya dengan keputusan hakim tersebut ke atas kes pertuduhan terhadap mantan perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International, di mana Hakim Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadap Najib.

SPRM sewajarnya tidak terlibat dengan usaha balas dendam pihak-pihak tertentu terhadap Hakim Nazlan.

SPRM peru sedar bahawa terdapat usaha yang konsisten pihak tertentu yang tindak-tanduk mereka boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasaan kehakiman apabila terdapat cubaan dilakukan untuk mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib dengan tujuan keputusan kes SRC International itu dibatalkan dan satu perbicaraan semula diadakan.

Perlu diingatkan bahawa keputusan Hakim Nazlan dalam kes SRC International yang mensabitkan kesalahan Najib telah disahkan oleh sebuah panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan.

Kepada SPRM, saya menyeru supaya memandang kepada diri SPRM sendiri. Beberapa laporaan polis secara rasmi telah dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam baki berkait isu pembelian saham yang mencurigakan, yang menimbulkan kemungkinan berlaku satu kesalahan di bawah Akta SPRM.

Saya berasa kesal sehingga ke hari ini, tidak ada siasatan dilakukan ke atas Azam. Malah cadangan dari JKMR yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim agar Azam direhatkan dengan bercuti  supaya satu siasatan bebas dapat dilakukan langsung tidak dihiraukan oleh SPRM.
 
SPRM perlu sedar bahawa tugas JKMR di mana saya salah seorang anggota jawatankuasa tersebut adalah untuk memantau perjalanan SPRM. Malahan di bawah Seksyen 14 Akta SPRM dinyatakan dengan jelas bahawa JKMR bertanggungjawab menasihati perdana menteri dalam segala hal tentang rasuah di Malaysia ini.

Maka atas tanggungjawab inilah saya membuat pernyataan ini untuk menasihati SPRM supaya menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan amanah dan mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan. – 25 April, 2022.     

* Hassan Abdul Karim, ahli Parlimen Pasir Gudang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen