Bantuan kaum India bukan untuk semua


Chan Kok Leong

Suasana perumahan flat kos rendah di Klang, Selangor. Kebanyakan penghuninya terdiri daripada golongan B40 yang terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Februari, 2018.

WAJAH Hamsa Warthani, seorang ibu tunggal, tampak terpinga-pinga apabila ditanya tentang program Putrajaya, Pelan Tindakan Masyarakat India.

“Itu bukan untuk orang macam saya. Kami tidak perlukan IC dan kami tidak ada cukup duit untuk simpan dalam unit amanah. Kerja saya pun (membuat aksesori wanita) tidak layak untuk pinjaman perniagaan yang mereka tawarkan,” kata ibu empat anak yang masih bersekolah itu.

Hamsa menambah suatu hari nanti mungkin anak-anaknya boleh mendapat kerja dengan kerajaan atau tempat masuk ke universiti, tetapi dia dan kakaknya tidak dapat peluang kerja dengan kerajaan kerana tidak cukup kelayakan.

Hamsa masih tinggal dengan ibu bapanya, dua orang kakak dan tiga anaknya – dua anak perempuan berumur 17 dan 12 tahun serta seorang anak lelaki berusia 8 tahun – di rumah pangsa dua bilik milik kakaknya di Bayu Tinggi, Klang.

Dia memberitahu The Malaysian Insight segala keperluan hidupnya sebagai pekerja kolar biru yang bersekolah sampai Tingkatan 3 lebih dipenuhi oleh program-program rakyat yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Mugilan Mugheelan, sukarelawan di pusat khidmat DAP Klang, berkata kes seperti Hamsa ini adalah kes biasa dalam kalangan masyarakat India dalam kelompok 40% rakyat Malaysia berpendapatan rendah atau B40 di bandar itu.

“Pelan Tindakan Masyarakat India ada banyak perkara yang baik seperti meningkat kemasukan kaum India dalam perkhidmatan awam atau pelajar yang mahu melanjutkan pengajian tinggi atau sistem kelulusan khas untuk kerakyatan.

“Tetapi kebanyakan dalam kumpulan B40 ini tidak layak untuk inisiatif itu.

“Ambil skim pelaburan unit amanah, misalnya. Kalau mereka ada duit untuk saham amanah, mereka tidak akan bergelut untuk membeli barangan dapur atau membayar bil elektrik,” kata Mugilan, yang mengaku keluarganya suatu ketika dulu masuk dalam kategori B40.

Putrajaya mengumumkan Pelan Tindakan Masyarakat India pada April tahun lalu dengan tujuan membantu membasmi kemiskinan dalam kalangan kaum India.

Antara program yang diumumkan termasuk meningkatkan dana pusingan bagi usahawan kaum India daripada RM150 juta kepada RM500 juta, RM5000 juta skim amanah saham dengan Permodalan Nasional Berhad, meningkatkan pengambilan kaum India di universiti awam kepada 7% serta meningkatkan penyertaan kaum India dalam sektor awam, selain sistem kelulusan khas untuk kerakyatan.

Bantuan kerajaan negeri

Sehingga baru-baru ini, sebelum mendapat kerja tetap, Hamsa hanya bekerja tiga atau empat jam sehari dengan upah RM10 sejam kerana terpaksa menjaga anaknya dan ibu bapa yang uzur.

Dengan kerja tetap, Hamsa kini memperoleh RM90 sehari dan kalau rezekinya murah pada bulan tertentu, dia mampu mendapat sehingga RM1,800.

Ayahnya mempunyai pencen RM500 sebulan dan ditambah dengan pendapatan dua kakaknya sebagai tukang cuci, seisi rumah tujuh sekeluarga itu kini bukan lagi tergolong dalam kelompok B40 iaitu isi rumah berpendapatan di bawah RM3,860. Bekas suaminya menghidap sakit jantung dan tidak lagi bekerja di pelabuhan Westports.

Hamsa Warthani berharap anak-anaknya berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan bekerja dengan kerajaan agar kehidupan mereka lebih terjamin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Februari, 2018.

Pusat khidmat DAP Klang membantu dia mengisi borang untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri Selangor dan memasukkannya ke dalam program usahawan kaum India (IEP), kata Hamsa.

Selepas latihan tiga bulan, Hamsa sudah boleh membuat barang hiasan wanita di rumah sambil menjaga keluarganya.

Selain latihan, keluarganya juga mendapat bantuan makanan RM50 sebulan, baucer berbelanja RM100 sekali setahun, RM200 sebulan di bawah program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan bantuan subsidi perubatan Pedulisihat RM500 untuk sebuah keluarga setahun.

“Sekarang ini ada 420 orang yang sedang dilatih di bawah program usahawan kaum India. Mereka datang dari Klang, Kapar, Semenyih, Puchong, Batang Berjuntai, Kuang dan Dengkil,” kata Mugilan.

“Antara kemahiran yang mereka boleh belajar di IEP ialah membuat bunga malai, barang kemas wanita, menjahit, membuat kek, fotografi, merias kuku, mekap pengantin dan kuih-muih tradisional.

“Selepas latihan, mereka boleh memohon pinjaman tanpa faedah dan setakat ini kita berjaya antara 50 hingga 60%, mereka boleh dapat pendapatan antara RM500 hingga RM2,000 sebulan,” kata Mugilan.

Zaman Dr Mahathir

Ditanya apakah dia rasa masyarakat India lebih beruntung semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, Hamsa berkata dia tidak tahu apakah bekas perdana menteri itu yang kembali masuk politik, kini dengan pembangkang, akan mempengaruhi undinya.

“Saya ada dengar mengenai dia tapi tak ada apa-apa dengan saya. Apa yang penting keadaan saya sudah bertambah baik sekarang,” kata Hamsa, yang kini melatih beberapa ibu tunggal lain bagaimana membuat barang kemas wanita.

Pemandu lori, Kalaiselvam Ahammuthu, 37, berkata dia tidak pasti apa maknanya penyertaan semula Dr Mahathir dalam politik kepada masyarakat India.

Kalaiselvam, yang mahu jadi peguam tetapi tidak mampu meneruskan pengajiannya, berkata Dr Mahathir sepatutnya menangani masalah kaum India tetapi terlepas peluang itu.

“Saya tidak tahu apa hendak kata tentangmnya tetapi saya percaya Dr Wan Azizah (Wan Ismail) dan Lim (Kit Siang) buat keputusan yang betul mencalonkannya (sebagai bakal perdana menteri),” katanya yang berasal dari Pekan.

Sama seperti Hamsa, Kalaiselvam berkata Pelan Tindakan Masyarakat India tidak sampai ke peringkat akar umbi.

“Tidak ada orang yang saya kenal yang dapat manfaat daripadanya,” kata Kalaiselvam, yang pendapatannya antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan bergantung banyak mana perjalanan yang diselesaikannya pada bulan itu.

Pakatan Harapan dan PAS sejak kebelakangan ini mula meraih sokongan pengundi India ketika Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hampir.

Minggu lalu, Dr Mahathir memberikan ucapan sempena Hari Ponggal sementara Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengadakan satu majlis dengan masyarakat India di Pulau Pinang. – 14 Februari, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen