Nazlan hakim berintegriti, kata rakan karib


Alfian Z.M. Tahir

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya. – Gambar Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, 24 April, 2022.

RAKAN karib dan kawan sekolah Mohd Nazlan Mohd Ghazali menggunakan media sosial untuk membela hakim Mahkamah Rayuan itu yang sedang disiasat berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Di Facebook, Zaim Al-Amin rakan sekolah Nazlan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menyifatkan beliau sebagai “seorang yang tidak boleh dipertikaikan integritinya”.

Kedua-dua Zaim dan Nazlan adalah pelajar di MCKK pada 1984.

“Kami sebagai rakan sebaya sangat menghormatinya dan sangat menyanjungnya. Malah kami akan “cakap berlapik” (bercakap dengan lembut dan hormat) kepadanya. walaupun bergurau,” kata Zaim.

“Ini adalah apa yang saya boleh katakan apabila beliau diserang kiri, kanan, depan dan belakang malah sebagai kawan saya menyanjungnya.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan sedang dijalankan berikutan beberapa laporan terhadap hakim tersebut.

“Kami membuka kertas siasatan kerana ada laporan dibuat, bukan kerana tuntutan dibuat dalam portal atau media sosial,” Azam dipetik sebagai berkata.

Nazlan adalah hakim yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Blog Malaysia Today pada Rabu menyiarkan dakwaan Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Sebelum menjadi hakim, Nazlan pernah menjadi peguam am dan setiausaha syarikat Maybank.

Shahar Effendi Azizi dalam pada itu berkata walaupun beliau tidak mengenali Nazlan secara peribadi, namun beliau mendengar banyak cerita baik tentang Nazlan daripada rakan sebayanya.

“Hakim yang arif itu memasuki almamater saya, MCKK  pada 1980. Walaupun saya sudah meninggalkan sekolah dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat ‘A-Level’ di Blackpool, England ketika itu, namun beberapa rakan sekelas saya seperti Serpents (MCOB 78) termasuk Saifuddin Abdullah (kini menteri luar negeri) masih berada di Tingkatan 6.

“Bagaimanapun beliau adalah Hakim Mahkamah Tinggi (sekarang Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman ke atas bekas pembesar negara dalam kes SRC (rasa anda tahu siapa).

“Walaupun saya tidak mengenalinya secara peribadi, namun ini adalah perkara yang paling tidak boleh saya lakukan kepada seseorang yang dipandang tinggi dan berintegriti oleh rakannya dengan memberi sokongan moral kepadanya pada saat mencabar ini,” kata Shahar. – 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen