PRS sudah matang, kata Abang Johari


Parti Rakyat Sarawak ditubuhkan pada 2004. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2022.

PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg hari ini menyifatkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang ditubuhkan pada 2004 sebagai parti politik yang sudah matang.

Premier Sarawak itu berkata, ia berikutan tindakan ahli PRS yang meletakkan kepentingan dan perjuangannya bersama GPS serta parti komponen lain di bawah gabungan itu untuk membawa Bumi Kenyalang ke arah pembangunan lebih pesat.

“Lebih-Lebih lagi PRS parti berasaskan luar bandar dan mereka banyak pengalaman dalam pembangunan di luar bandar yang boleh dimasukkan ke dalam pembangunan lebih besar ketika kita menuju ke arah 2030.

“Sebab itu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh kepimpinan PRS yang dapat melahirkan satu pasukan inklusif yang akan membawa PRS bersama rakan dalam GPS untuk memberikan input kepada dasar dalam pembangunan secara menyeluruh lebih-lebih lagi masyarakat di luar bandar,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan tritahunan ke-5 PRS di Sibu, Sarawak hari ini.

Majlis Tertinggi PRS menetapkan tiada pertandingan bagi semua jawatan dalam parti.

Naib Presiden PRS John Sikie Tayai, yang sebelum ini menyerahkan kertas pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden pada persidangan itu, memutuskan untuk tidak meneruskannya manakala pemangku presiden Joseph Salang Gandum akan menggantikan mendiang James Masing yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung tahun lalu.

Abang Johari juga berkata, pasukan inklusif dalam PRS berupaya memastikan keteguhan politik yang menentukan usaha pembangunan kerajaan negeri Sarawak di kawasan luar bandar dapat diteruskan.

Beliau melihat semangat mendiang masih hidup dalam PRS apabila kepimpinan tertinggi parti itu kini memainkan peranan masing-masing berkaitan isu pembangunan luar bandar, suatu perjuangan yang konsisten dengan karier politik Masing ketika hayatnya.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abang Johari berkata, beliau tidak tahu bila ia akan diadakan namun gabungan politik itu sudah bersedia.

“Kita tidak tahu bila PRU15 tetapi satu perkara yang penting adalah dalam GPS, kita sentiasa bersedia, macam PRN (Pilihan Raya Negeri) dulu, kita bersedia tetapi secara diam-diam. Kerja saja supaya rakyat dapat melihat,” katanya.

Mengulas calon yang diketengah pada PRU15 kelak, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, ia terpulang kepada parti komponen untuk menentukannya.

Mengenai kawasan luar bandar, beliau berkata, ia tidak harus berkisar kepada pembangunan infrastruktur semata-mata tetapi harus turut mencakupi pemerkasaan masyarakat dalam usaha memperoleh pulangan lebih tinggi dari tanah yang mereka usahakan.

Abang Johari berkata justeru, pendekatan baharu termasuk penggunaan teknologi terkini dan pembangunan tanah yang lebih tersusun terutama membabitkan generasi muda perlu digunakan.

Katanya, ia akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan infrastruktur supaya mereka mampu memperoleh pulangan tinggi selari dengan visi menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030. – Bernama, 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen