PIHAK berkuasa berjaya menangani masalah peniaga warga asing di pasar borong Selayang, Kuala Lumpur, kata kumpulan penjual.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Kuala Lumpur (KLMTSH) Mohamad @ Joe Abdullah berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak terhadap peniaga warga asing ini sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata demikian bagi menolak dakwaan peniaga warga asing membuat kemunculan semula di pasar borong Selayang.
“Menjawab dakwaan baru-baru ini peniaga warga asing menakluki pasaran Selayang adalah tidak benar. Anda boleh datang ke Pasar Selayang dan lihat sendiri.
“Ada dua perkara yang ingin diketengahkan, peniaga warga asing dan pekerja asing. Pekerja asing, memang ada pekerja asing bekerja di sini tetapi peniaga warga asing yang memiliki kedai misalnya, tidak ada perkara itu.
“Kalau ada, DBKL sudah ambil tindakan. DBKL sudah ambil tindakan sejak beberapa tahun lalu. Malah DBKL merampas ribuan aset milik peniaga warga asing ini,” kata Mohamad.
Bulan lalu, dilaporkan warga asing kembali ke pasar harian dan borong Selayang untuk menjalankan perniagaan mereka secara haram.
Tinjauan Bernama berkata walaupun pihak berkuasa menyerbu tempat itu beberapa kali, ia tidak menghalang mereka untuk kembali ke sana bagi menjalankan perniagaan, termasuk beroperasi di sepanjang kaki lima bangunan kedai berhampiran dua pasar itu.
Dilaporkan, di pasar harian yang dibuka dari awal pagi hingga petang, lebih ramai peniaga warga asing menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan mudah rosak pada hujung minggu.
Mohamad turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli daripada warga asing sekiranya mereka terjumpa peniaga asing di Selayang. – 24 April, 2022.
Komen