Cook Islands rekod kematian pertama Covid-19


Cook Islands melaporkan kematian pertama berkaitan koronavirus pada Ahad, lebih dua tahun selepas wabak itu meletus. – Gambar Facebook, 24 April, 2022.

NEGARA kecil di Pasifik Selatan, Cook Islands melaporkan kematian pertama berkaitan koronavirus pada Ahad, lebih dua tahun selepas wabak itu meletus.

Seorang wanita berusia 63 tahun, yang mempunyai masalah kesihatan, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di pulau Aitutaki lewat Sabtu.

“Dengan rasa sedih saya mengumumkan kami baru sahaja merekodkan kematian pertama kami di negara ini disebabkan oleh Covid-19,” kata Perdana Menteri Mark Brown dalam satu kenyataan pada Ahad.

“Dia menerima ketiga-tiga vaksin anti-Covid, tetapi juga mengalami masalah kesihatan yang serius.”

Negara pulau itu bebas daripada Covid-19 sehingga wabak varian Omicron muncul selepas ia membuka semula sempadannya kepada pelancong dari New Zealand awal tahun ini.

“Ia sesuatu yang tragis, tetapi kami sudah jangka mungkin kehilangan seseorang disebabkan Covid,” kata Brown.

Kementerian kesihatan Cook Islands berkata, setakat ini mereka merekodkan 4,727 kes Covid-19 yang mana 735 daripadanya aktif setakat pagi Ahad. – AFP, 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen