SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut digilis kereta apabila dia dikatakan cuba menahan kereta itu yang sedang mengundur di Kampung Keledang Luar, Tawar dekat Baling, Kedah semalam.
Aisyah Amani Amirrudin, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Tawar yang mengalami pendarahan di kepala akibat kejadian, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Baling Shamsudin Mamat berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 petang semasa kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain di luar rumah bersama adik lelakinya berusia tujuh tahun, apabila dia masuk ke dalam kereta itu yang diletakkan di hadapan rumah.
Beliau berkata, menurut saksi, kanak-kanak yang dilihat bermain di tempat duduk pemandu itu dipercayai menurunkan brek tangan sehingga menyebabkan kereta itu bergerak mengundur ke belakang.
“Kanak-kanak itu yang panik, kemudiannya berlari ke arah belakang kereta untuk cuba menahan kereta daripada bergerak, namun terus digilis kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian malang itu disedari bapa saudaranya berusia 29 tahun yang sedang bersiap untuk keluar bekerja sebagai pemandu van ambulans syarikat swasta.
“Bapa saudara kanak-kanak itu yang terdengar jeritan ke kereta berkenaan dan mendapati anak saudaranya itu berada di bawah kereta,” katanya.
Shamsudin berkata, lelaki itu kemudian menghantar kanak-kanak berkenaan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, namun dia dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Katanya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – Bernama, 24 April, 2022.
Komen