709 bekas pekerja Perwaja terima pampasan, kata PM


Perdana menteri berkata, isu itu akhirnya diselesaikan selepas 7 tahun kes bekas pekerja Perwaja menuntut hak mereka. – Gambar Twitter, 24 April, 2022.

SERAMAI 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja) yang ditamatkan perkhidmatan pada November 2014, menerima pampasan keseluruhan bernilai RM8.645 juta hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan pampasan berkenaan kepada penerima dalam bentuk cek tunai, masing-masing berjumlah antara RM3,000 hingga RM21,000.

Menurut perdana menteri, isu itu akhirnya dapat diselesaikan selepas tujuh tahun kes bekas pekerja syarikat berkenaan menuntut hak mereka.

“Saya percaya ini hadiah untuk sambutan Aidilfitri yang akan disambut nanti,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian pampasan pekerja Perwaja Kemaman di dewan pejabat Umno Bahagian Kemaman di Chukai, Terengganu hari ini.

Perwaja yang ditubuhkan di bawah Dasar Perindustrian Berat Negara pada 1982 beberapa kali bertukar pemilikan dan dilanda pelbagai masalah sehingga operasinya terpaksa ditutup.

Sementara itu Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata, Perwaja yang mula beroperasi pada awal 1980-an pada mulanya berjaya membangunkan Kemaman sebagai kawasan pengeluaran besi keluli.

“Namun ia mula bermasalah sehingga terpaksa ditutup. Pekerja diberhentikan dengan cara yang amat sedih. Mereka juga tidak dibayar gaji sehingga enam bulan dan tidak dibenarkan masuk ke kilang. Notis hanya ditampal di pintu masuk premis,” katanya.

Sementara itu seorang penerima A Ghani Ismail, 62, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus memperjuangkan nasib beliau dan rakan sehingga membolehkan mereka menerima pampasan hari ini.

“Alhamdulillah akhirnya nasib saya yang bekerja di Perwaja selama 30 tahun akhirnya terbela. Saya ingat dapat duit ini akan dibelanjakan untuk raya dan insya-Allah saya berhasrat untuk menunaikan umrah,” kata bekas penyelia stor Perwaja yang menerima pampasan RM20,000 hari ini.

Jalilati Said, 45, pula berkata, penat lelahnya yang bertahun-tahun berjuang menuntut hak selepas 13 tahun bekerja sebagai kerani di kilang itu akhirnya berbaloi dengan penerimaan pampasan hari ini.

“Kakak turun naik mahkamah pada 2018 untuk mendapatkan pembelaan. Apa sahaja program berkaitan MTUC atau yang berkaitan masalah kami pasti kakak akan sertai sebab ingin mengetahui perkembangan terkini,” katanya.

Ibu empat anak itu berkata, beliau akan menggunakan wang pampasan yang diterima hari ini untuk membayar hutang dan komitmen lain di samping menampung kerugian yang dialami selepas warung makannya di Teluk Kalong ditenggelami banjir baru-baru ini. – Bernama, 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen