SAIFUDDIN Nasution Ismail menempelak Rafizi Ramli kerana mahukan kredit atas pelantikannya sebagai penasihat strategik ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 2017.
Setiausaha Agung PKR itu juga menolak dakwaan Rafizi bahawa Rafizi menghulurkan bantuan kepadanya kerana beliau “menganggur” ketika itu.
“Saya tidak pasti apakah kertas kerja yang dimaksudkan oleh Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang.
“Apa yang saya ingat, beliau tidak pernah menjalinkan hubungan baik dengan Lim, apatah lagi mencadangkan pelantikan saya sebagai penasihat kerajaan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Jawatan penasihat lebih kepada sebab strategik dan tidak ada kena mengena dengan Rafizi mahu ‘membantu’ rakannya yang ‘menganggur’ selepas kalah dalam pilihan raya umum.”
Kedua-dua Saifuddin dan Rafizi bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti akan datang.
Semalam Rafizi bercakap mengenai pengorbanan yang dilakukan beliau untuk membantu rakan ahli parti itu, Saifuddin selepas beliau kalah dalam pilihan raya umum 2013.
Menurut bekas ahli Parlimen Pandan itu, beliau memungkinkan pelantikan Saifuddin sebagai setiausaha agung PKR dan merangka kertas kerja pelantikan beliau sebagai penasihat strategik kerajaan negeri Pulau Pinang.
Saifuddin bagaimanapun hari ini berkata Lim, yang sentiasa menjalin hubungan rapat dengannya, adalah orang yang menjemputnya menjadi penasihat kerajaan negeri.
Berhubung pelantikan setiausaha agung parti, Saifuddin berkata, presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat keputusan itu pada 2016 untuk menggantikan Rafizi, yang sedang berdepan saman fitnah difailkan oleh National Feedlot Corp.
Saifuddin juga berkata, beliau tidak mahu memanjangkan perbalahan dengan Rafizi dan akan sentiasa melihat calon timbalan presiden PKR itu sebagai “rakan seperjuangan”.
“Selepas pemilihan PKR, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mempersiapkan parti menghadapi pilihan raya umum dengan matlamat untuk menang.”
Pemilihan PKR akan diadakan dari 13 hingga 18 Mei. – 24 April, 2022.
Komen