KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 218 kemasukan ke hospital akibat Covid-19 semalam.
Sebanyak 107 kes daripadanya, atau 56% adalah Kategori 1 dan 2 manakala selebihnya dalam Kategori 3, 4 dan 5.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit Kategori 1 dan 2 akan dimasukkan jika mereka dianggap berisiko tinggi dan memerlukan pemerhatian.
Pesakit Kategori 1 adalah tanpa gejala, Kategori 2 mempunyai simptom ringan, Kategori 3 mempunyai simptom seperti radang paru-paru, Kategori 4 mempunyai simptom serius yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan Kategori 5 mengalami simptom teruk yang memerlukan rawatan rapi.
Selangor mencatatkan bilangan kemasukan baharu tertinggi, iaitu 65, diikuti Perak (22) dan Kuala Lumpur (19).
Daripada 748 katil rawatan rapi Covid-19 yang tersedia, 12% sudah diisi dan 57 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada hospital awam yang melebihi kapasiti katil di unit rawatan rapi sebanyak 50% semalam.
Hospital memberi kebenaran 240 pesakit yang pulih keluar semalam. – 24 April, 2022.
Komen