P RAMASAMY mahu debatnya dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengenai situasi buruh paksa di negara ini diadakan tanpa sebarang prasyarat.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata ini penting supaya timbalan presiden MIC itu tidak berundur daripada debat nanti.
“Walaupun sebelum ada persetujuan rasmi untuk berdebat, Saravanan sudah meletakkan syarat yang mungkin digunakan untuk melepaskan diri daripada perangkap debat.
“Saya harap beliau tidak berganjak pada saat akhir dengan berkata beliau tidak bersetuju dengan syarat debat,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Mari kita adakan debat terbuka mengenai buruh paksa tanpa sebarang prasyarat yang ditetapkan. Ada keperluan untuk melantik moderator dan tempat debat,” tambahnya.
Seruan berdebat itu dibuat ketika kedua-dua pemimpin ini saling bertikam lidah mengenai isu buruh paksa di negara ini, terutamanya mengenai isu menteri meminta Kedutaan AS dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan kerajaan mengenai siasatan buruh paksa.
Ramasamy kemudiannya mengeluarkan cabaran kepada menteri yang menerimanya lewat semalam.
“Saya sangat gembira mendapat peluang untuk menjelaskan dan mendidik Ramasamy mengenai perkara khusus yang dibangkitkan di platform media sosialnya, berhubung permintaan saya kepada ILO dan pihak berkuasa AS.
“Seperti yang beliau nyatakan, saya amat berharap ini bukan debat semata-mata tetapi lebih kepada perkongsian ilmu mengenai usaha Kementerian Sumber Manusia dan saya sendiri sebagai menteri dalam menangani isu tersebut,” kata Saravanan di Facebook malam tadi.
Beliau berharap debat itu hanya tertumpu kepada isu dibangkitkan dalam media sosial Ramasamy dan tidak akan menyimpang kepada agenda yang tidak berkaitan.
“(Saya juga) harap ini bukan satu lagi drama DAP.
“Saya mencadangkan agar sebuah organisasi yang berwibawa menjadi moderator forum ini. Sebuah organisasi bipatisan dan mahir dalam soal buruh,” tambahnya.
Dalam mengalu-alukan penerimaan Saravanan berhubung debat itu, Ramasamy berkata isu buruh paksa adalah satu isu yang luas. – 24 April, 2022.
Berita penuh di sini
Komen