Pembeli rumah merana projek di kawasan Ahmad Samsuri terbengkalai 4 tahun


Diyana Ibrahim

Pembeli amat susah hati kerana perlu terus membayar ansuran pinjaman walau binaan di Fasa 3 Taman Sri Purnama, Marang, di Terengganu semakin punah tanpa sebarang tanda projek tersebut akan dihidupkan semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh , 25 April, 2022.

PEMBELI rumah kecewa kerana melihat Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar tidak mempedulikan keluhan mereka ke atas projek perumahan yang terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Pembeli ini memberitahu The Malaysian Insight, lebih mengecewakan lagi projek perumahan yang kini rosak dan dipenuhi semak-samun terletak dalam kawasan Ahmad Samsuri sendiri di Marang.

Mereka amat susah hati kerana perlu terus membayar ansuran pinjaman walau binaan di Fasa 3 Taman Sri Purnama semakin punah tanpa sebarang tanda projek tersebut akan dihidupkan semula.

Seorang wakil dari 120 pembeli itu, Abdul Halim Mohamed berkata tiada tindakan dilihat berlaku walaupun sudah mengemukakan memorandum dan surat aduan kepada Ahmad Samsuri.

“Tahun lepas kita ada serahkan memorandum kepada menteri besar. Kali terakhir saya menulis surat pada 16 Mac lepas. Tapi setakat ini tiada apa-apa perkembangan.

“Ini termasuk selepas demonstrasi aman yang kita lakukan di tapak rumah terbelengkalai pada minggu lepas. Kita masih belum dapat maklum balas dari kerajaan negeri atau menteri besar.”

Abdul Halim, 34, menjelaskan projek perumahan yang dijalankan pemaju swasta di atas tanah kerajaan negeri itu sepatutnya siap pada 2018.

Jelasnya, mereka membeli rumah teres kos rendah itu pada harga antara RM73,000 hingga RM145,000 pada tahun 2016.

Namun projek itu kemudiannya terhenti pembinaannya kerana pemaju memberi alasan berhadapan dengan masalah kewangan, katanya.

Beliau berkata, mereka difahamkan exco hal ehwal perumahan Alias Razak mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju berhubung isu tersebut pada Oktober tahun lepas.

Katanya hasil dari mesyuarat tersebut pemaju telah berjanji untuk menyambung semula pembinaan pada tahun lepas.

“Namun sampai ke hari ini tiada sebarang pergerakan pun di tapak projek tersebut. Apabila ditanya banyak alasan yang diberikan pihak pemaju

“Dan mereka sentiasa memberi tarikh baharu untuk memulakan projek ini,” katanya yang menambah pembeli tertanya-tanya status projek itu dan sebab ia terbengkalai begitu lama.

Rumah tidak siap, pinjaman kena bayar

Abdul Halim berkata aduan berhubung masalah itu juga telah dipanjangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan KPKT dan ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang.

“Biarpun berapa kali kita turun pejabat kementerian, pejabat menteri besar pun tidak ada apa yang berlaku.

“Hal ini sangat mengecewakan kerana kami begitu terkesan dengan situasi tersebut,” katanya.

Luahnya lagi, pembeli sangat terbeban kerana perlu membayar ansuran pinjaman bank dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) biarpun kediaman masih tidak siap.

Beliau berkata jika keadaan berlarutan tanpa sebarang perkembangan, mereka mungkin mengambil tindakan undang-undang supaya keadilan dapat dituntut.

Seorang lagi pembeli Rokiah Mohamad tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat rumah impiannya telah mengalami banyak kerosakan akibat terbelengkalai begitu lama.

Beliau juga terkejut kerana hakisan tanah berlaku sehingga membentuk anak sungai di tengah-tengah tapak projek pembinaan tersebut.

“Kita sangat terkejut apabila melihat kawasan rumah dah sampai ada anak sungai gara-gara dibiarkan begitu lama.

“Dan apabila perkara itu ditularkan oleh pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Raja Kamarul Bahrin barulah pemaju ada membina parit supaya air tidak melalui kawasan perumahan,” katanya.

Rokiah, 46, berkata sangat mengharapkan dapat memiliki kediaman sendiri sebelum bersara namun harapannya musnah.

Namun katanya perkara itu tidak berlaku sebaliknya beliau dibebani dengan hutang untuk membayar ansuran pinjaman rumah.

“Saya ingatkan umur dekat 50 ini dapatlah nak merasa duduk rumah sendiri. Tapi ini dah empat kali raya rumah yang saya beli ini masih lagi tidak siap-siap.

“Paling perit kami berdepan dengan beban kewangan kerana bukan sahaja perlu membayar rumah sedia ada yang kami duduk sekarang ini tapi juga perlu bayar ansuran pinjaman,” katanya.

Sambung projek selepas raya

The Malaysian Insight sedang mendapatkan maklum balas exco Alias Razak.

Sementara itu, Syarikat pemaju Grand East Development pula hanya mampu berharap dapat menyambung semula projek terbengkalai itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus projek Abdul Ghani Ibrahim berkata ketika ini pembinaan projek rumah itu hanya berbaki lagi 30 peratus untuk siap sepenuhnya.

“Syarikat telah mendapat notis dan arahan daripada KPKT untuk menyiapkan segera 120 unit rumah itu dalam tempoh setahun.

“Jadi kemungkinan kita sambung semula pembinaan sekiranya tiada halangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengakui syarikat itu menghadapi masalah kewangan yang menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual asal.

Dakwanya keadaan kewangan pemaju makin sulit apabila berlaku kelewatan kelulusan geran dari kerajaan negeri yang sepatutnya diterima pemaju bagi menyiapkan projek perumahan fasa empat.

“Syarikat memang ada masalah kewangan yang kita tidak dapat membuat pinjaman kerana hutang lama. Rancangan kita nak dapatkan geran dari kerajaan negeri.

“Geran ini untuk projek fasa empat yang kita perlu siapkan 212 unit rumah kos rendah. Rancangan kita nak guna geran ini sedikit untuk selesaikan 120 unit perumahan yang terbengkalai.

“Tapi sebab dapat lewat kita tak boleh buat apa-apa,” kata Abdul Gani.

Syarikat pemaju dari Kuala Terengganu itu diberi tanggungjawab membina sebanyak 515 unit perumahan kos rendah dalam empat fasa.

Dua fasa pertama sudahpun siap dan 120 unit yang terbengkalai itu dalam Fasa 3, katanya

“Syarikat juga ada nak serahkan projek ini kepada pemaju lain tapi setakat ini tidak ada yang berminat.

“Jadi timbul pelbagai masalah yang menyebabkan kelewatan demi kelewatan berlaku,” katanya. – 25 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen