WALAUPUN jangkitan Covid-19 sedang menurun tetapi orang awam dinasihatkan terus berhati-hati sepanjang musim perayaan Hari Raya ini, kata pakar kesihatan.
Mereka yang masih belum divaksin atau belum menerima dos penggalak terutama sekali warga emas perlu terus berwaspada dan semua orang perlu terus memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.
Pesan pakar ini dibuat walaupun kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bermula minggu depan, termasuklah mandat pemakaian pelitup muka.
Ketua Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen Azrul Mohd Khalib berkata kes mungkin akan naik selepas Hari Raya sekiranya rakyat leka dalam pematuhan SOP sepanjang tempoh itu.
“Malaysia akan menyaksikan peningkatan ketara kes Covid-19 selepas Hari Raya.
“Kita perlu terus mengekalkan amalan sama yang dinasihat sejak dari mula- memakai pelitup muka sekerap mungkin, terutama dalam persekitaran tertutup, cuba mengelak berada di tempat tertutup dan sesak yang pengudaraan tidak baik dan amalan kerap mencuci tangan,” kata Azrul kepada The Malaysian Insight.

Malaysia melaporkan kurang daripada 10,000 kes harian baharu sejak tujuh hari lepas, dengan kes terendah sebanyak 5,899 kes dicatatkan pada 21 April lalu.
Terdapat juga penurunan ketara dalam petunjuk utama lain termasuk kematian, kemasukan ke hospital disebabkan Covid-19 dan penggunaan unit rawatan rapi (ICU).
Selepas pelbagai sekatan pandemik dilaksanakan sejak dua tahun lepas termasuk sekatan pergerakan, tahun ini penganut Islam boleh merentas negeri, melawat rumah ke rumah untuk berhari raya.
Arul bagaimanapun menasihati orang ramai supaya terus memantau kesihatan mereka sebelum melakukan perjalanan dan menghadiri acara besar-besaran.
Mereka yang mempunyai gejala serupa Covid-19 perlu terus berhati-hati ketika melawat keluarga mereka supaya tidak membahayakan kesihatan semua orang yang terlibat.
Kumpulan rentan terutamanya warga emas masih perlu dilindungi, tambahnya lagi.

“Jika anda mempunyai gejala penyakit ini, jaga diri dan keluarga anda dengan duduk sahaja di rumah, walaupun ini adalah sambutan meriah Hari Raya sejak dua tahun lepas.
“Kita perlu melindungi orang tersayang dan kumpulan rentan supaya Hari Raya pada tahun-tahun mendatang masih dapat diraikan bersama,” katanya.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai juga memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak cuai sepanjang musim perayaan ini.
Memetik perayaan terdahulu yang disambut di peringkat antarabangsa dan dalam negara yang menyebabkan lonjakan kes Covid-19, katanya rakyat perlu ingat yang koronavirus mudah berjangkit sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.
Dr Koh bersetuju yang semua orang perlu menilai tahap kesihatan mereka dan memastikan mereka sihat sebelum melawat ahli keluarga.
“Buat ujian (kit kendiri) sebelum melakukan perjalanan. Pastikan yang anda sihat sebelum melawat terutamanya jika warga emas atau (pesakit) komobiditi turut hadir.
“Juga buat ujian kendiri jika tidak sihat dan terus patuhi SOP yang diberikan,” katanya.

Azrul dan Dr Koh, kedua-duanya, memberi penekanan kepada peri penting mendapatkan vaksin termasuk dos penggalak yang bukan hanya menurunkan kadar kebolehjangkitan tetapi juga melindungi orang lain.
Warga emas dan kumpulan rentan lain yang masih belum divaksin perlu berbuat demikian secepat mungkin, tambah Dr Koh.
“Warga emas yang belum menerima dos penggalak tidak boleh bertangguh lagi kerana mereka berdepan risiko kontak rapat dengan keluarga tersayang,” katanya.
Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menasihati warga emas supaya mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum sambutan Hari Raya bulan depan.
Katanya, langkah pencegahan tambahan ini penting kerana jumlah kes Covid-19 dijangka naik sepanjang dan selepas sambutan Hari Raya, terutama ketika negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. – 24 April, 2022.
Komen