BEKAS timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berpandangan Malaysia mungkin tidak menyaksikan lonjakan kes Covid-19 selepas perayaan Aidilfitri dan gelombang Omicron terburuk di negara ini sudah berakhir.
Ini kerana katanya kebanyakan penduduk sudah pun terdedah dengan virus itu.
“Walaupun Hari Raya saya tidak fikir akan ada lonjakan ketara (dalam kes) kerana kebanyakan orang sudah dijangkiti,” katanya.
Lebih 80% daripada jumlah penduduk juga sudah diberi vaksin sepenuhnya (menerima dua dos). Hanya 49% daripada jumlah populasi sudah menerima suntikan penggalak.
Bagaimanapun Kementerian Kesihatan menggesa mereka yang enggan tidak berlengah-lengah mendapatkan suntikan dos penggalak.
Lee percaya Malaysia sudah mengatasi varian Omicron yang paling teruk dan berkata sehingga varian baharu yang lebih kuat muncul tidak akan ada sebarang perubahan yang ketara dalam kes.
“Sehingga ada varian baharu yang boleh mengatasi imuniti sedia ada (tidak akan berlaku lonjakan).
“Tetapi saya tidak fikir terdapat varian yang ketara dari varian Omicron buat masa ini.
“Ada mengatakan mengenai BA.2 dan XE tetapi saya fikir ia masih sub jenis Omicron.
“Jadi saya fikir kita sudah mengatasi Omicron yang paling teruk dan kita perlu pulih tanpa mengira sama ada terdapat kelonggaran sekatan atau tidak,” kata ahli Parlimen Gopeng itu kepada The Malaysian Insight.
Pada awal Februari Kementerian Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia “sepenuhnya” berada dalam gelombang Omicron yang ada reda dalam masa “satu hingga dua bulan”. Beliau juga berkata gelombang itu dijangka memuncak pada akhir Mac.
Pada 1 April negara memulakan fasa peralihan endemik yang menyaksikan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kemasukan bebas kuarantin untuk mereka yang divaksin sepenuhnya.
Kementerian Kesihatan juga sedang mengkaji keperluan pengimbasan berterusan untuk mendaftar masuk di premis dengan MySejahtera jika penularan Covid-19 stabil.
Dua hari lalu Khairy berkata kerajaan mungkin melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) pada minggu depan, memberi bayangan ini mungkin termasuk pemakaian topeng pelitup muka.
Bagaimanapun Lee menasihatkan individu berisiko tinggi untuk terus mengikuti langkah pencegahan.
Secara keseluruhannya sebagai sebahagian daripada hidup dengan virus, terpulang kepada individu untuk menentukan tahap risiko mereka sendiri kerana kerajaan tidak boleh sentiasa menetapkan peraturan.
“Warga emas terutamanya mereka yang mempunyai komorbiditi perlu terus berhati-hati untuk keluar ke tempat awam dan bergaul dengan orang ramai. Mereka harus memastikan untuk mengekalkan penjarakan fizikal.
“Individu perlu menilai berdasarkan profil risiko mereka sendiri dan berdasarkan selera mereka sendiri untuk pencegahan,” kata Lee. – 23 April, 2022.
Komen