Kerajaan baharu Pakistan sedia kurangkan subsidi bahan api


Menteri kewangan baharu Pakistan Miftah Ismail berkata negara itu bersetuju mengurangkan subsidi bahan api. – Gambar AFP, 23 April, 2022.

MENTERI kewangan baharu Pakistan semalam bersetuju dengan saranan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mengurangkan subsidi bahan api dan menamatkan skim pengampunan cukai perniagaan selain berjanji meneruskan pembaharuan struktur bagi meningkatkan ekonomi yang dilanda krisis.

IMF pada 2019 meluluskan pinjaman AS$6 bilion dalam tempoh tiga tahun untuk Pakistan tetapi pengeluaran diperlahankan disebabkan kebimbangan mengenai kadar pembaharuan.

Menteri Kewangan Miftah Ismail yang menjawat jawatan berkenaan bulan ini selepas kerajaan terdahulu hilang undi tidak percaya berkata beliau mengadakan “perbincangan yang baik” dengan IMF semasa lawatan mesyuarat musim bunga tahunan pemberi pinjaman yang berpangkalan di Washington itu.

“Mereka bercakap tentang penghapusan subsidi bahan api. Saya bersetuju dengan mereka.

“Kita tidak mampu melaksanakan subsidi yang sedang dilaksanakan. Justeru kita perlu mengurangkannya,” kata Ismail yang juga bekas ahli ekonomi IMF di Majlis Atlantik.

Beliau berkata bekas perdana menteri Imran Khan yang berusaha untuk mengelak daripada digulingkan memasang “perangkap” untuk penggantinya melalui subsidi besar ke atas bahan api dan elektrik serta skim pengampunan cukai untuk perniagaan yang mana ia merupakan langkah menggagalkan pengeluaran pinjaman IMF.

“Beliau memberi pengampunan kepada perniagaan kerana membina kilang jadi mereka tidak perlu membayar cukai malah jika mereka mengelak cukai itu tidak mengapa,” katanya kepada pemberita pada majlis anjuran Kedutaan Pakistan.

Tetapi Ismail menambah beberapa subsidi yang disasarkan harus kekal untuk golongan termiskin di Pakistan di tengah-tengah harga global yang tinggi.

Perdana menteri baharu negara itu Shehbaz Sharif berikrar untuk memulakan semula ekonomi yang hampir lumpuh yang pastinya akan menjadi isu utama dalam pilihan raya yang dijadualkan tahun depan.

Pakistan berulang kali mendapatkan sokongan antarabangsa dan berdepan asas cukai yang lemah.

Ismail berkata Pakistan, negara kelima paling ramai penduduk di dunia perlu beralih kepada model ekonomi baharu dengan menghapuskan halangan dan mempromosikan eksport ke dunia. – AFP, 23 April, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen