Majlis Presiden tak pernah setuju dekati Perikatan, kata DAP


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan gerakan khemah besar hanya melibatkan parti pembangkang, menekankan yang Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak pernah setuju untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2022.

DAP menganggap seruan kepada Pakatan Harapan (PH) berlembut untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai kenyataan peribadi Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan, PH tidak pernah bersetuju untuk menjalankan usaha seumpama itu kerana kerjasama melalui gerakan digelar khemah besar hanya melibatkan pembangkang.

“Kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadi beliau dan ia tidak pernah diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“DAP berpendirian bahawa isu kerjasama antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional dalam PRU15 tidak timbul kerana PN merupakan sebahagian daripada blok kerajaan hari ini.

“Konsep khemah besar yang dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang,” kata Loke dalam kenyataannya.

Tegasnya lagi, pengkhianatan dilakukan parti dalam PN menyebabkan kerjasama itu sukar diadakan.

“Semua pihak dalam PH perlu menyedari bahawa adalah amat sukar kerjasama dengan PN dapat dijalin dengan latar belakang sejarah hitam yang pernah kami lalui dengan parti komponen dalam PN,” katanya.

Pandangan berhubung hala tuju dan kerjasama di luar PH juga hanya boleh diputuskan dalam Majlis Presiden bagi mengelak kekeliruan di kalangan penyokong, tambahnya.

Salahuddin semalam dilaporkan menganjurkan agar PH lebih berlembut dan melupakan perkara lalu agar rundingan dapat dibuat dengan Bersatu dan PAS.

Beliau menggesa demikian bagi membina kesepakatan pembangkang dan meyakinkan pengundi bagi menghadapi BN.

Salahuddin menggesa perbincangan dengan Bersatu dan PAS itu dijalankan lebih awal untuk membuka pintu kerjasama dan menjelaskan ia sebahagian usaha menghimpun semua pembangkang.

Pengerusi baharu DAP Lim Guan Eng bagaimanapun pada minggu lalu menegaskan parti itu menutup pintu kerjasama ke atas Bersatu dan PAS.

Beliau tidak mempercayai kepemimpinan kedua-dua parti tersebut yang dianggapnya bertindak “tikam belakang” dan berdolak-dalik.

PAS pula hari ini melalui presidennya Abdul Hadi Awang turut menolak mentah-mentah cadangan untuk bekerjsama dengan parti dalam PH.

Tindakan Bersatu pada Februari 2020 yang menarik sokongan sekumpulan ahli Parlimen PKR dan Bebas menggulingkan pentadbiran PH yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Ia membolehkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri kelapan, yang seterusnya digulingkan apabila Umno menarik sokongan ke atasnya.

Muhyiddin kini berusaha menarik sokongan parti pembangkang untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRU15, termasuk Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir. – 22 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen