Tak mungkin PAS kerjasama dengan Pakatan semula, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Abdul Hadi Awang berkata cukup sekali PAS bersama parti terbabit menerusi gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum ia dibubarkan pada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2022.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menolak mentah-mentah cadangan untuk bekerjasama semula walau parti komponen Pakatan Harapan (PH) menunjukkan keterbukaan bagi usaha itu.

Katanya ia tidak mungkin berlaku kerana sudah cukup sekali PAS bersama parti terbabit menerusi gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum ia dibubarkan pada 2015.

“PAS tidak akan kerjasama dengan PH. Cukuplah 20 tahun dengan Pakatan Rakyat. Kerjasama politik ini tidak akan berulang,” katanya kepada pemberita di Marang hari ini.

Tambahnya pendirian PAS hanya untuk mengekalkan kerjasama dengan Perikatan Nasional dan bersama perdana menteri dari Umno Ismail Sabri Yaakob.

“Kita akan berusaha mengekalkan dan memperkukuhkan kerjasama itu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau mengulas mengenai usaha PH menjalin kerjasama dengan pembangkang melalui gagasan digelar khemah besar.

Pemimpin dari Amanah menunjukkan sikap terbuka untuk bekerjasama semula dengan PAS namun langkah itu ditentang satu lagi komponen gabungan tersebut, DAP.

Pengerusi baharu DAP Lim Guan Eng pada minggu lalu menegaskan parti itu menutup pintu kerjasama ke atas Bersatu dan PAS.

Beliau tidak mempercayai kepemimpinan kedua-dua parti tersebut yang dianggapnya bertindak “tikam belakang” dan berdolak-dalik.

Tindakan Bersatu pada Februari 2020 yang menarik sokongan sekumpulan ahli Parlimen PKR dan Bebas menggulingkan pentadbiran PH yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Ia membolehkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri kelapan, yang seterusnya digulingkan apabila Umno menarik sokongan ke atasnya.

Muhyiddin kini berusaha menarik sokongan parti pembangkang untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRU15, termasuk Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir.

Pakatan Rakyat menggantikan Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif sebelum 2008.

Namun ia dibubarkan selepas PAS memutuskan hubungan kerjasama politik dengan dengan DAP dalam persidangan muktamarnya pada 2015. – 22 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen