MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein perlu memberitahu Parlimen mengapa kerajaan memutuskan untuk meneruskan perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS), kata pemimpin DAP P Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata daripada kenyataan Hishammuddin, dapat dilihat kerajaan meneruskan projek yang terhenti untuk melindungi vendor.
Penghantaran kapal itu ditangguh susulan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa vendor. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan itu.
“Nampaknya penerima utama pembelian itu adalah vendor asing dan bukan rakyat Malaysia,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.
“Butiran mengenai vendor dan pembelian sebenar masih diselubungi misteri dan kekeliruan.
“Kepentingan siapa yang cuba dilindungi oleh Kementerian Pertahanan, jutaan pembayar cukai atau beberapa berkepentingan?
“Adakah beliau bersedia mendedahkan butiran mengenai pembelian itu di Parlimen?”
Pada Rabu, Hishammuddin berkata Kabinet bersetuju meneruskan pengambilalihan LCS.
Beliau berkata keputusan itu dibuat memandangkan lebih 400 vendor terlibat dalam perjanjian itu yang bernilai RM4 bilion.
Pada masa sama, beliau berkata kapal itu juga amat diperlukan oleh tentera laut.
Hishammuddin berkata lebih 100 vendor adalah rakyat Malaysia, 90% daripadanya dikaitkan dengan veteran tentera.
Beliau berkata kapal itu berdasarkan reka bentuk Gowind oleh syarikat Perancis, Naval Group (dahulunya dikenali sebagai DCNS).
Tambahnya, Kabinet juga menubuhkan jawatankuasa tadbir urus khas untuk mengawasi pemerolehan dan melaporkan semula kepada Kabinet.
Persatuan Strategik Maritim Malaysia (Mastra) berkata bayaran untuk kapal itu tertunggak selama tiga tahun.
Wan Othman Wan Ab Rahman daripada persatuan itu berkata kesemua hutang perlu dibayar segera supaya vendor dapat meneruskan projek itu.
Beliau berkata Boustead Naval Shipyard berhutang kira-kira RM1 bilion kepada lebih 100 vendor tempatan, yang terpaksa membayar pekerja mereka.
Beliau berkata kapal pertama dijangka dihantar pada 2025. – 22 April, 2022.
Komen