BEKAS menteri pertahanan Mohamad Sabu mendesak kerajaan mendedahkan pelan dan kos tambahan untuk menyiapkan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk tentera laut.
Mohamad dalam kenyataan bersama bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong mendesak bekas ketua audit negara Ambrin Buang berhubung perolehan tersebut didedahkan.
“Ia agar rakyat dapat melihat sendiri apa yang telah berlaku dalam projek LCS sebelum ini.
“Dan Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) akan diminta membentangkan laporannya kepada Parlimen secepat mungkin,” kata kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu.
Kapal LCS pertama daripada kesemua enam buah vesel sepatutnya siap dibina pada April 2019 bagi projek dengan kontrak asal bernilai RM9 bilion.
Kontrak tersebut ditandatangani pada 17 Julai 2014. Namun, tiga tahun dari tarikh sepatutnya siap, tidak ada sebuah kapal pun berjaya dibina.
Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai Ambrin mendapati sebanyak RM5.94 bilion telah digunakan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 bilion tidak dapat dikesan, kata Mohamad dan Liew.
Mohamad dan Liew berkata, mereka dan Ambrin kemudian memberi taklimat kepada perdana menteri waktu itu, Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan projek berkenaan pada 11 Februari 2020.
Mereka menyatakan kaedah untuk meneruskan projek tersebut serta mencadangkan supaya individu disyaki terlibat disiasat dan dihukum.
Semalam Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein mengumumkan kabinet bersetuju meneruskan perolehan vesel LCS tersebut, yang tidak menghairankan Mohamad dan Liew.
Ini memandangkan masalah mengenai perolehan tersebut dan juga ketirisan dana dalam projek tersebut masih tidak ditangani.
“Pengumuman Hishammuddin bermakna tiada apa yang baharu kerana ia sama dengan apa yang kami cadangkan pada tahun 2020,” kata mereka.
Hishammuddin semalam mengumumkan perolehan kali ini melibatkan kira-kira 400 vendor dengan kos lebih RM4 billion, dengan lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia.
Selain itu beliau berkata sebanyak 90% daripadanya pula ada hubung kait dengan veteran dan majoritinya berada di Lumut, terutama pekerja berkemahiran, pakar, ahli keluarga mereka. – 21 April, 2022.
Komen