PUTRAJAYA perlu melakukan siasatan bebas berhubung insiden di pusat tahanan Sb Bakap dan mengenakan hukuman kepada pihak bertanggungjawab, kata Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar (MAGM) hari ini.
Pengerusinya, Syed Hamid Albar juga menggesa kerajaan memberi akses kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di semua pusat tahanan imigresen untuk menemubual tahanan dan memeriksa keadaan di situ.
Beliau berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk menentukan status pelarian kepada semua tahanan dan membebaskan tahanan yang layan menerima kad UNHCR.
“MAGM bimbang dengan kejadian berlaku semalam di mana 528 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak, yang ditahan tanpa tempoh di Pusat Tahanan Sementara Sg Bakap di Bandar Baharu, Kedah melarikan diri selepas rusuhan.
“Enam nyawa terkorban – dua lelaki, dua wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan – dalam kemalangan jalan raya ketika mereka cuba melarikan diri.
“Mereka bukan penjenayah; mereka lari daripada genosid di Myanmar; mereka naik bot untuk ke Malaysia cuba mulakan hidup baharu; dan sebaliknya, mereka diletakkan di kem tahanan,” kata bekas menteri itu.
Syed Hamid berkata ada laporan tidak rasmi menyatakan berlaku protes atau rusuhan, sebelum tahanan melarikan diri, dikatakan tercetus daripada kematian seorang tahanan Rohingya lain yang tidak diberikan rawatan perubatan mencukupi.
Katanya, sejak penubuhan MAGM selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar tahun lalu, kumpulan penasihat itu memantau situasi orang awam dan pelarian dari Myanmar, termasuk Rohingya yang terpaksa meninggalkan tanah air menerusi jalan laut dan darat yang amat berbahaya untuk melarikan diri daripada ditangkap, diseksa dan mati.
“Pelarian Rohingya yang cuba mendapatkan perlindungan di Malaysia ditahan dalam tempoh lama dan keadaan yang teruk menyebabkan mereka perlu melarikan diri sekali lagi. Bukan saja keadaannya menekan, tetapi ia juga tidak berperkemanusiaan. – 21 April, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen