Kos melancong ke luar negara naik kerana Covid-19, kata pemain industri


Agensi pelancongan kini mengenakan bayaran lebih 20% hingga 30% kepada perjalanan ke luar negara kerana mengambil kira faktor wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2022.

PERJALANAN ke luar negara akan menelan kos lebih tinggi walaupun lebih banyak negara membuka semula sempadan mereka susulan langkah kesihatan yang masih dilaksanakan untuk membendung penularan Covid-19, kata pakar industri.

Mereka berkata pengembara kini perlu mengambil kira kos ujian untuk Covid-19 dan insurans perjalanan sebagai tambahan selain penerbangan, penginapan dan makanan.

Perkara menjadi lebih rumit kerana tiada syarat kemasukan standard, sebaliknya setiap negara mungkin mempunyai syarat sendiri.

Pengarah Urusan Kumpulan Apple Vacations Sdn Bhd Koh Yock Heng berkata perjalanan akan dipengaruhi oleh semua faktor ini.

“Pertama, kemasukan untuk setiap negara adalah berbeza. Pengembara dikehendaki membeli insurans perjalanan untuk Covid-19 dan keperluan ujian juga berbeza-beza,” kata Koh.

Menurutnya, masa depan perjalanan penuh dengan ketidakpastian kerana wabak boleh mengganggu rancangan perjalanan.

Kumpulan pelancongan kini mengenakan bayaran lebih 20% hingga 30% dengan mengambil kira wabak itu, katanya.

Sebagai contoh, kumpulan pelancongan ke Jepun menelan belanja RM6,500 sebelum pandemik tetapi meningkat sebanyak RM1,000 disebabkan kesediaan hotel yang terhad, kos insurans dan prosedur operasi standard lain, kata Koh.

Koh mencadangkan pengembara memilih kumpulan yang lebih kecil iaitu kurang daripada 10 orang untuk selamat.

Jika berlaku kecemasan, operator pelancongan juga boleh membantu melakukan perubahan penerbangan dan hotel, katanya.

Apple Travel juga mempromosikan 10 langkah keselamatan yang termasuk memastikan keselamatan pengembara, polisi pembatalan fleksibel, insurans perjalanan dinaik taraf, maklumat perjalanan terkini, taklimat video dan peralatan.

Perubahan ini disesuaikan susulan ketidakpastian yang dihadapi sektor itu dalam dunia Covid-19, kata Koh, sambil menambah sekiranya seseorang dijangkiti virus ketika tempoh perjalanan, mereka akan mengatur kemasukan ke hospital dan pengasingan.

Data Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) menunjukkan terdapat pengurangan sebanyak 74% bagi perjalanan pada 2020 manakala terdapat pengurangan sebanyak 67% pada 2021.

Ia berkata ramai yang masih takut untuk melakukan perjalanan melalui udara.

Insurans perjalanan berbeza mengikut destinasi

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Paul Paw berkata kadar insurans setiap negara juga berbeza.

Sebagai contoh, Turki mewajibkan pengembara membeli insurans dengan perlindungan sehingga AS$50,000 yang menelan belanja kira-kira RM600.

Kelebihannya ialah pelancong yang memasuki negara itu tidak perlu menjalani saringan pra-berlepas dan kerajaan Turki juga menyediakan diskaun besar bagi tambang penerbangan melalui Turkish Airlines.

“Jika anda dijangkiti semasa berada di Turki, anda boleh menggunakan insurans untuk membayar kos pengasingan kemasukan ke hospital.

“Malah kemasukan ke Thailand memerlukan anda membeli insurans yang akan melindungi sehingga AS$50,000.”

Paw berkata beliau berharap Malaysia akan terus membuka sempadannya kerana industri tidak mampu berdepan penutupan semula.

“Kami sedang menyesuaikan model perniagaan dan memanggil semula kakitangan lama untuk latihan. Kami tidak mampu berdepan satu lagi sekatan pergerakan.”

Presiden Persatuan Cina Inbound Malaysia (MICA) Angie Ng berkata memandangkan tiada garis panduan standard untuk melancong ke luar negara, ejen pelancongan mesti mematuhi SOP ketika mengendalikan kumpulan di luar negara.

“Covid-19 seperti selsema, Kementerian Kesihatan berkata kita perlu kuarantin jika kita positif.”

Walaupun kos perjalanan ke luar negara meningkat disebabkan keperluan tambahan, Ng berkata negara sedang giat mempromosikan pelancongan serta menyediakan subsidi.

Terdapat juga peningkatan dalam ekopelancongan yang boleh membantu mewujudkan pekerjaan, katanya.

“Pelancongan telah berubah. Kami sedang menghidupkan dan mempromosikan ekopelancongan yang memberi tumpuan kepada aktiviti luar untuk mengurangkan risiko jangkitan.

“Kami kini giat mempromosikan India dan negara Asia Tenggara yang lain.”

Perjalanan dalam negara mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2022.

Perjalanan domestik lebih selamat

Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata keperluan insurans itu membebankan pelancong.

“Jika kos naik RM200 seorang, bagi empat sekeluarga ia bermakna tambahan sebanyak RM800. Dengan kenaikan harga bahan api, tambang penerbangan dijangka naik lebih 48%.

“Syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines juga mengenakan surcaj bahan api, ini tidak bagus untuk industri.”

Uzaidi berkata perjalanan pergi balik dari Pakistan ke Malaysia berharga RM2,800 manakala dari Pakistan ke London berharga RM300.

Memandangkan perbezaan kecil harga tiket, kebanyakannya lebih suka ke London, katanya.

“Kami berharap kerajaan akan memudahkan kemasukan ke Malaysia dan menghapuskan ujian PCR praberlepas dan ujian RTK-Antigen 24 jam selepas ketibaan.”

Bagaimanapun, Uzaidi berpendapat pelancong yang datang ke Malaysia mungkin membawa lebih banyak jangkitan.

Perjalanan dalam negara juga mengurangkan risiko, katanya.

Menurut jabatan Imigresen, pada empat hari pertama sempadan dibuka semula pada 1 April, Malaysia menerima  252,730 pelancong masuk dan keluar.

Terdapat 126,392 rakyat Malaysia yang memasuki negara ini manakala 28,301 keluar. Pada masa sama, 55,121 warga asing memasuki negara ini manakala 42,916 keluar. – 21 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen