28 pembedahan bukan kecemasan ditunda gangguan bekalan elektrik hospital Sabah


Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata gangguan bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu telah menyebabkan 28 pembedahan bukan kecemasan dijadualkan ke tarikh lain, manakala pen=mbedahan kecemasan dilakukan di HQE II. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

GANGGUAN bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu sejak semalam menyebabkan 28 pembedahan bukan kecemasan yang dijadualkan hari ini ditunda ke tarikh lain, kata Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata perkhidmatan dewan bedah di HQE terpaksa ditutup pada hari ini dan esok untuk memastikan bekalan elektrik ke wad dan unit rawatan rapi sentiasa mencukupi serta stabil, manakala kes yang memerlukan pembedahan kesemasan pula akan dilakukan di HQE II di Kota Kinabalu.

“Pada masa ini syarikat konsesi masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang rosak agar bekalan elektrik pulih seperti sediakala,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Rose Nani berkata gangguan bekalan elektrik itu terjadi pada 11.54 pagi semalam di HQE melibatkan melibatkan menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan lama perubatan HQE.

“Sepanjang gangguan bekalan, dua ‘set generator’ di HQE menampung bekalan elektrik bagi bangunan terlibat. Pihak hospital, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta syarikat konsesi telah melakukan tindakan segera mendapatkan generator tambahan sebagai sokongan,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan perkhidmatan perubatan HQE tidak terjejas, pelan kontigensi telah dilakusanakan dengan memindahkan sebahagian pesakit lebih memerlukan, dan kes memerlukan pembedahan kecemasan ke HQE II.

Sementara itu, Dr Rose Nani dalam satu lagi kenyataan memaklumkan kejadian paip bocor di HQE II pada pukul 10.58 pagi tadi melibatkan paip air ke tangki utama, mengakibatkan limpahan air di stor unit sajian dan ruang linen aras bawah hospital itu.

Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga semua pembedahan bukan kecemasan hari ini ditangguhkan dan hanya pembedahan kecemasan dilakukan, manakala perkhidmatan kesihatan lain di HQE II berjalan seperti biasa.

“Langkah segera diambil pihak hospital dan syarikat konsesi adalah pemasangan paip pintasan dan kejadian ini dalam keadaan terkawal. Limpahan air di aras bawah HQE II sudah dibersihkan… pihak HQE II dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas,” katanya.

Dr Rose Nani berkata kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan dan dijangka siap malam ini. – Bernama, 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen