Bila pengurangan 30% tambang penerbangan akan dilaksanakan, soal kumpulan pengguna


Noel Achariam

Kumpulan pengguna mahu Mavcom segera mendedahkan butiran mengenai pengurangan 30% tambang penerbangan sempena perayaan Aidilfitri yang tinggal kurang dua minggu lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2022.

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) perlu mendedahkan butiran mengenai pengurangan 30% tambang penerbangan sempena perayaan Aidilfitri, kata kumpulan pengguna.

Mereka berkata adalah penting penurunan kadar itu diumumkan sebelum Hari Raya yang kini tinggal kurang dua minggu lagi.

Kumpulan itu juga berkata walaupun orang ramai akhirnya dapat “balik kampung” selepas dua tahun, syarikat penerbangan tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang yang terlalu tinggi.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadim Johan berkata mereka difahamkan selama dua tahun orang ramai tidak dapat menaiki kapal terbang dan syarikat penerbangan berdepan masalah ekonomi.

“Kami percaya mereka (syarikat penerbangan) mahu mendapatkan semula kerugian mereka. Tidak mengapa jika mereka mahu mengenakan jumlah tertentu.

“Tetapi mereka tidak boleh mengambil kesempatan daripada keperluan orang yang ingin melancong. Mereka mahu mengenakan bayaran lebih, mengenakan itu dan ini. Ia salah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Isnin Mavcom mengumumkan bahawa harga tiket penerbangan turun sebanyak 30% selepas mereka bersetuju berkompromi untuk musim perayaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak bagaimanapun berkata Mavcom akan mengeluarkan kenyataan rasmi memperincikan kadar baharu itu dalam masa terdekat.

“Ada yang mengatakan ia (tiket penerbangan) telah naik 70 peratus, tetapi kita telah berjaya kurangkan banyak daripada kadar berkenaan, pagi ini pun apabila kita lihat, sudah ada penurunan.

“Ini kerana kita berjaya meningkatkan kekerapan penerbangan dengan cara redeploy (menyusun semula pergerakan) kapal-kapal terbang supaya tumpuan diberikan kepada sektor (perayaan) ini,” katanya.

Walaupun Nadim memuji pengurangan 30% tambang penerbangan beliau turut mempersoalkan bila pihak berkuasa akan melaksanakannya.

“Bila mereka akan melaksanakannya? Adakah syarikat penerbangan bersetuju dengan perjanjian itu?,” soalnya.

Beliau juga menambah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memainkan peranan memantau dan memastikan tiada manipulasi dalam tambang penerbangan.

“Tidak sepatutnya ada kenaikan harga yang tidak perlu dan Kementerian Pengangkutan perlu memastikan harga dikawal.

“Mereka (KPDNHEP) perlu menguruskan harga yang dibayar orang ramai untuk musim perayaan ini. Ini perlu diperbetulkan. Jangan sampai orang ramai merungut,” katanya.

Pada Ahad Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengendali syarikat penerbangan supaya tidak mengaut keuntungan berlebihan dengan menaikkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak secara melampau pada musim perayaan ini.

Sejak akhir-akhir ini isu tambang penerbangan yang tinggi ke Sabah dan Sarawak menjadi topik hangat selepas ia dipaparkan di laman web sebuah syarikat penerbangan yang dikatakan meningkat kepada RM2,000 untuk penerbangan pergi balik ke Sabah atau Sarawak berbanding harga biasa sebanyak RM300 untuk perjalanan yang sama.

Sementara itu Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason berkata syarikat penerbangan itu tidak seharusnya mengambil kesempatan kerana kebanyakan orang belum menggunakan perkhidmatan kapal terbang disebabkan wabak berkenaan.

Beliau juga bersetuju bahawa Mavcom perlu mengeluarkan kadar tambang penerbangan yang diberi diskaun dengan segera.

“Syarikat penerbangan tidak boleh mengambil kesempatan. Jika kerajaan mahu membantu rakyat mereka perlu memastikan harga (tambang penerbangan) terkawal.

“Ia juga mesti berpatutan untuk orang ramai menaiki kapal terbang. Kami tidak mahu melihat tambang tinggi dikenakan,” katanya.

Beliau juga berkata ada pelbagai cara boleh dibuat jika kerajaan mahu membantu (syarikat penerbangan).

“Jadi bagi penerbangan tempatan pada musim Hari Raya kerajaan boleh memberi seperti rebat cukai kepada syarikat penerbangan.

“Ia hanya implikasi kewangan yang minimum (untuk kerajaa). Jadi jika syarikat penerbangan mengambil lebih ramai penumpang, mereka boleh mendapat lebih banyak rebat,” katanya. – 21 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen