PENGGUNAAN kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan perniagaan kecil masih rendah kerana ramai yang masih belum faham cara ia berfungsi, kata kumpulan perniagaan.
Pemilik perniagaan cara lama masih berusaha menyesuaikan diri dengan teknologi baharu ini selain perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk melabur dalam pendigitalan.
Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Mohd Baba Kutty berkata hanya 10 peratus daripada 20,000 ahlinya telah menerima pakai transaksi tanpa tunai dalam perniagaan mereka.
“Ramai masih tidak faham cara ia berfungsi. Perlukan penjelasan lanjut. Sesetengah perniagaan yang lebih kecil tidak ada akaun bank syarikat juga.”
Daripada 10 peratus yang telah menerima kaedah tanpa tunai, ramai yang berada dalam sektor makanan dan minuman. Mereka guna sistem e-dompet, selain transaksi kad kredit dan debit, kata Mohd Baba.
“Kebanyakan daripada mereka juga menggunakan platform GrabFood dan FoodPanda, jadi mereka tahu cara guna (urus niaga tanpa tunai).”
Dalam kalangan pemilik perniagaan yang lebih lama, mereka ragu-ragu yang mereka tidak “nampak” wang fizikal apabila menggunakan sistem tanpa tunai.
“Mereka tidak selesa, walaupun wang itu terus masuk ke dalam akaun mereka.
“Ada juga yang tidak begitu berpendidikan dan itu menyumbang kepada masalah,” tambahnya.
Selepas Hari Raya Aidilfitri awal bulan depan, persatuan itu akan menganjurkan bengkel buat ahli-ahlinya bagi menjelaskan kemudahan pembayaran tanpa tunai, kata Mohd Baba.
Sementara itu, Presiden Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata 30 peratus ahlinya menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.
“Norma baharu bagi kebanyakan orang ialah menggunakan e-dompet dan kad kredit.
“Kemudahan ini ada di banyak kedai, dan penggunaan e-dompet berleluasa. Lebih 30 peratus ahli kami sediakan perkhidmatan ini sekarang, dan akan ada lebih banyak lagi menjelang hujung tahun,” katanya.
Begitu juga Presma, kebanyakan ahli-ahlinya yang lebih tua tidak berminat untuk mengguna pakai sistem pembayaran tanpa tunai.
Tetapi yang telah serahkan perniagaan kepada anak-anak mereka lebih cepat menyesuaikan diri, tambahnya.
Urus niaga tanpa tunai juga lebih selamat untuk perniagaan kerana wang itu terus masuk ke dalam akaun.
“Kami lebih selesa guna sistem tanpa tunai. Lebih selamat dan tidak perlu risau sebab wang terus ke akaun.”
Jawahar berkata Presma juga bercadang mengadakan seminar bagi pembayaran tanpa tunai selepas Hari Raya.
Dalam pada itu Naib Presiden Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Chin Chee Seong berkata kadar penerimaan ahli-ahlinya terhadap sistem ini lebih baik iaitu kira-kira 50 peratus.
Ini tidak termasuk perusahaan nano (atau mikro), dan pekerja gig, kata Chin.
Perniagaan lebih kecil yang mempunyai perolehan lebih kecil atau berurusan dengan jualan rendah mungkin tidak mendapati sistem tanpa tunai menarik, disebabkan oleh kos pelaksanaan.
“Kadar diskaun peniaga (MDR) atau caj transaksi (adalah salah satu sebab utama),” kata Chin.
“Kekurangan perhubungan, pendidikan dan tabiat lama juga menyumbang.”
MDR merupakan kadar yang dikenakan kepada peniaga untuk pemprosesan pembayaran transaksi debit dan kad kredit. Perkhidmatan ini disediakan oleh peniaga dan mereka perlu bersetuju atau komited dengan kadar sebelum menerima dan atau membenarkan kad debit atau kredit untuk pemprosesan pembayaran.
Terdapat juga keperluan mendapatkan bantuan kerajaan bagi membantu perniagaan mengguna pakai pendigitalan dalam semua aspek, bukan hanya pembayaran tanpa tunai, tambah Chin.
“Kami masih perlukan bantuan kerajaan untuk percepat penggunaan digital, bukan sahaja e-dompet, tetapi untuk semua bentuk pembayaran daripada perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C). – 21 April, 2022.
Komen